Rizal Ghazali dedah akan tubuhkan kelab bola sepak bersama Baddrol Bakhtiar di Gurun

77

Baru-baru ini pemain Sabah FC, Rizal Ghazali menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila beliau dikatakan bakal kembali menyarung jersi Kedah Darul Aman FC selepas gambarnya bersama bekas rakan sepasukan Baddrol Bakhtiar tular di media sosial.

Susulan penularan gambar tersebut, Rizal tampil menjelaskan bahawa pertemuan dengan rakan baiknya yang merupakan YB Dun Gurun itu adalah untuk menubuhkan kelab bola sepak di Gurun, Kedah.


“Memang banyak khabar angin yang mengatakan saya akan kembali ke Kedah Darul Aman FC selepas gambar saya bersama Baddrol tular, tapi ia sebenarnya kami berbincang untuk tubuhkan pasukan di kawasan beliau di Gurun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pasukan baru itu.

Dalam pada itu, Rizal turut mendedahkan bahawa beliau mahu berhijrah ke pasukan yang berpengkalan di Semenanjung pada musim hadapan kerana mahu lebih dekat dengan ibu bapanya.

“Kontrak saya sudah pun habis tapi saya masih belum tahu arah tuju saya. InsyaAllah mungkin saya akan ke Semenanjung kerana ibu bapa saya tidak sihat.”

Pemain berusia 31 tahun itu juga dedah sudah mendapat tawaran daripada empat kelab tapi masih belum buat keputusan kerana mahu fokus pada pasukannya terlebih dahulu yang mana Sabah mempunyai perlawanan penting menentang Kedah pada perlawanan terakhir Liga Super 17 Disember ini.