Terlalu santai dan pandang rendah pada pasukan lawan kita dikejutkan PSM Makassar – Khairul Fahmi

76

Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui bermain terlalu santai dan memandang rendah kepada pasukan lawan menyebabkan mereka tewas 3-1 kepada PSM Makassar dalam perlawanan terakhir kumpulan Piala AFC malam tadi.

“Mungkin kita bermain terlalu santai dan memandang rendah kepada pihak lawan, kita dikejutkan jaringan pertama.

Kami cuba bangkit tapi malangnya kami dibolosi lagi menerusi serangan balas pantas daripada pasukan lawan, tapi pada separuh masa kedua kita bermain dengan agak baik dengan mencipta beberapa peluang dan berjaya jaringkan satu gol tapi ia agak lambat untuk kami kembali dalam perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Khairul Fahmi atau mesra dengan panggilan Apek mengakui mereka bermain agak baik tetapi tidak fokus pada awal perlawanan menyebabkan mereka terpaksa akur dengan keputusan malam tadi.


Dalam pada itu, bekas penjaga gol kebangsaan itu berkata tahun ini adalah musim yang agak baik buat The Rhinos biarpun pada awal musim mereka sedikit bergelut.

“Pasukan Sabah bagi saya walaupun agak lambat di awal musim tapi di hujung buat comeback, ada momentum untuk fight dalam Liga Super dan Piala AFC.

Kita ada satu perlawanan liga lagi, insyaAllah kita akan rebut tempat ketiga.”

Sabah akan sekali lagi turun beraksi di Stadium Likas pada Ahad ini menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super dengan kedua-dua pasukan dalam misi wajib menang untuk merebut kedudukan ketiga liga.