Terima kasih Amri Yahyah, definisi legenda bola sepak Malaysia yang konsisten

76

Tamatnya aksi terakhir Liga Super semalam menyaksikan perjalanan legenda bola sepak negara, Amri Yahyah dalam saingan bola sepak sebagai seorang pemain turut sampai ke penghujung.

Beliau yang dikenali dengan karakter ‘budak nakal’ itu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak selepas 22 tahun menabur bakti bersama beberapa kelab.


Pada usia 42 tahun, beliau adalah antara pemain paling konsisten yang beraksi dalam saingan tertinggi Liga Malaysia, mencatatkan pelbagai kejayaan dalam kariernya.

Kemuncak kariernya di peringkat kelab hadir ketika mewakili pasukan Selangor di mana beliau mengumpul tiga kejuaraan Liga Super, tiga Piala FA, dua Piala Malaysia, tiga Piala Sumbangsih dan satu kejuaraan Liga Perdana.

Selain Selangor, beliau juga mempunyai karier yang cemerlang di Johor Darul Ta’zim (JDT) selama dua tahun, memenangi dua kejuaraan Liga Super, satu Piala FA, dua Piala Sumbangsih dan satu Piala AFC.

Amri dianggap sebagai antara penyerang terbaik dalam generasinya, dan turut pernah membantu Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kejayaan paling manis ketika menyarung jersi Harimau Malaya sudah tentu menjulang Piala AFF pada tahun 2010.

Bersama Malaysia, beliau mengumpul 63 kaps dan berjaya menyumbang 13 gol.

Konsistensi yang dimiliki oleh Amri adalah antara perkara yang membuatkan beliau Istimewa, kerana tidak ramai pemain lain yang mampu beraksi secara profesional dalam saingan tertinggi pada usia sepertinya.

Musim ini juga, beliau tampil dalam 20 perlawanan untuk Sabah, dan membantu pasukan itu menamatkan saingan di tangga ketiga liga.

Arena bola sepak tempatan pasti akan merindui aksi lincahnya di atas padang, selain karakternya yang menghiburkan.

Namanya akan terpahat dalam sejarah bola sepak tempatan sebagai antara pemain terhebat dalam bola sepak Malaysia.