Terima kasih kepada saranan TMJ, Selangor akhirnya berjaya layak ke Asia

80

Susulan kejayaan Selangor FC layak ke kejohanan AFC Champions League (ACL) 2 selepas menduduki tangga kedua liga, Tunku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa ia turut dibantu oleh kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menyapu bersih semua kejohanan domestik tahun ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa pasukan dari Malaysia layak beraksi di kejohanan ACL disebabkan sumbangan mata ranking MA oleh JDT sejak sekian lama.


Perkara itu tidak boleh disangkal lagi kerana sebelum JDT berjaya membawa Malaysia layak ke ACL, pasukan dari Malaysia hanya layak beraksi di kejohanan Piala AFC.

Satu lagi pendedahan TMJ yang mengejutkan sesetengah peminat adalah baginda merupakan individu yang menyarankan untuk mengambil Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Selangor.

Pada 24 September 2022, Selangor secara rasminya melantik Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih selepas berpisah dengan Michael Feichtenbeiner.

Cheng Hoe yang sebelum itu merupakan bekas jurulatih kebangsaan juga pernah menyatakan bahawa beliau pernah meminta nasihat daripada TMJ sebelum membuat keputusan untuk melatih Selangor.

Musim ini, Cheng Hoe berjaya membawa Selangor menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekaligus melayakkan diri ke kejohanan AFC buat kali pertama sejak 2016.

Ia menamatkan penantian sekian lama para penyokong dan pihak pengurusan yang sekian lama cuba untuk memastikan Selangor kembali ke Asia. Ternyata ‘sentuhan’ TMJ yang berjaya membawa kembali Selangor bermain di peringkat Asia setelah bertahun-tahun berusaha untuk ke peringkat itu.