Bukan misi senang di industri bola sepak, selamat maju jaya Dira Abu Zahar!

136

Bukan hanya boleh berlakon, mengacara, mengarah, ceburi bidang politik, dan kini ke industri bola sepak. Sememangnya serba boleh!

Tidak dapat disangkal lagi, aktres popular, Datuk Dira Abu Zahar miliki pelbagai kredibiliti dalam bermacam-macam bidang.


Terkini, beliau telah dipilih untuk menjadi salah seorang Naib Presiden didalam Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) bagi penggal 2023 sehingga 2026.

Diumumkan sewaktu Kongres Tahunan MAFA ke-67, Dira dikira individu yang layak bagi menyandang jawatan tersebut melihatkan semangat dan aktifnya beliau dalam memperjuangkan hak rakyat negeri Melaka secara keseluruhannya.

Dira, atau nama sebenar beliau Khaidirah Abu Zahar, sudah pun mengikut jejak langkah bapanya, iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, dalam mendalami bidang politik bermula tahun 2015.

Sejak itu, beliau telah memegang pelbagai jawatan yang khususnya dalam pembangunan negeri itu sehingga hari ini, ke industri bola sepak di Melaka FA.

Jatuh didalam kategori yang sama, Datuk Hans Issac adalah salah satu figura yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini mengenai tugas beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Hadirnya dari dunia hiburan, kedua-dua persona tersebut kini dilihat lebih memilih untuk ‘turun padang’ demi mengembangkan bakat kepimpinan mereka sekali gus memberikan sokongan padu terhadap sukan bola sepak tanah air.

Ternyata Datuk Hans selama ini juga tidak lepas dari terpalit dengan pelbagai isu tentang pengurusan dan tindakan susulan di PSM, seperti konflik kondisi padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bagaikan tiada menemui jalan penghujungnya.

Tentunya ianya bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah dan boleh dipandang enteng kerana mengendalikan tampuk pimpinan sesebuah sukan merangkumi pelbagai pihak termasuklah pengurusan asas, kelab para peminat yang besar serta agensi-agensi dari luar negara.

Kritikan serta cacian perlu sedia diterima dengan hati yang terbuka jika ingin terus mengendali sesebuah institusi bola sepak, memandangkan ianya sukan nombor satu negara.

Banyak perkara tentang pembangunan sukan itu harus diambil kira, dari isu baik pulih fasiliti sehinggalah ke kontroversi panas sebelum, semasa dan selepas perlawanan.