Jangan berterima kasih sahaja, sila menabur bakti untuk Harimau Malaya dan JDT!

338

Pelbagai respon menarik yang didengari sejak umumnya senarai penuh pemain yang terpilih ke kem latihan skuad Harimau Malaya sebagai persiapan terakhir ke Piala Asia 2023 kelak.

Yang paling menarik perhatian, pastinya pemain naturalisasi terbaru – penyerang KL City FC, Romel Morales.


Nama beliau yang dipetik oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di suatu keratan komen di laman media sosial Instagram ketika itu, ternyata amat menghargai kemasukan serta penglibatan dirinya didalam pasukan kebangsaan.

Menerusi satu temubual, Morales berniat untuk membalas budi dan kepercayaan Baginda dengan memberikan aksi di paras optimum.

Jika diberikan kesempatan dan peluang, kenapa tidak bintang bola sepak itu menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)?

Sudah tentu ianya adalah tertakluk kepada pilihan Baginda dan pihak pengurusan JDT sendiri namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Melihatkan kepada usia beliau yang muda (umur 26 tahun) dan kewibawaannya, pemain kelahiran Colombia ini pasti mampu menyumbang aksi yang terbaik dan tahun keemasan kepada kelab yang telah menjuarai Liga Super selama 10 tahun berturut-turut itu.

Morales juga nampaknya amat sesuai bagi menggantikan pemain penyerang veteran JDT yang berasal dari Brazil, Diogo Luis Santo yang mengumumkan pesaraan beliau semalam.

Beberapa pemain senior juga dijangkakan akan bersara dari kelab itu antaranya seperti Aidil Zafuan, S.Kunalan, selain Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang bakal berhijrah secara pinjaman.

Tambahan pula, skuad Harimau Malaya pastinya akan mendapat manfaat andai Morales ke JDT kerana pendedahan yang bakal diperolehi Morales di AFC Champions League Elite (ACL Elite).

Pengalaman beraksi menentang kelab gergasi Asia pasti dapat memberikan pengalaman yang amat berharga kepada Morales, yang pernah membawa KL City ke final Piala AFC.

Untuk rekod, Morales pernah menyarung jersi pasukan Selangor FC II dan Melaka United FC sebelum menandatangani kontrak bersama Kuala Lumpur City FC hampir tiga tahun yang lalu.

Sepanjang kariernya di Malaysia, beliau telah berjaya menjaringkan sebanyak 35 gol selama 9,873 minit perlawanan dicatatkan.