Saya nak jadi macam Datuk Lee Chong Wei, kalau orang lain berlatih dua jam saya akan buat lebih lagi – Eogene Ewe

117

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe mahu mencontohi idolanya Datuk Lee Chong Wei dengan menjadikan disiplin sebagai perkara utama.

Katanya, ia adalah penting untuk memastikan dirinya sentiasa menunjukkan peningkatan, dan beliau bertekad mahu berlatih dengan lebih lagi bagi mencapai perkara itu.


“Saya memang mahu jadi macam Datuk Lee Chong Wei, buat masa ini saya tak mahu fikir banyak dan teruskan usaha saya sahaja, kalau orang lain berlatih dua jam saya akan tambah sikit.

Keputusan adalah penting tetapi yang paling utama adalah sikap yang baik, jurulatih akan bantu kita tetapi kita kena tunjukkan sikap yang baik,”

katanya.

Eogene menyasarkan untuk menembusi ranking 100 teratas pada tahun 2024 dan memperbaiki diri terutama dari sudut fizikal, skil dan strategi.

Untuk tahun ini, beliau tidak begitu berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian dirinya kerana merasakan mampu melalukan lebih lagi.

“Tahun ini saya ada pergi ke World Junior dan menang pingat berpasukan tetapi untuk perseorangan saya tewas, apa saya boleh katakan adalah tahun ini lebih baik dari tahun sebelum ini.

Tetapi saya tidak begitu berpuas hati, ada beberapa kekesalan kerana saya rasa saya mampu lakukan lebih lagi.”

Eogene berkata, apabila sudah tidak lagi berstatus pemain junior, beliau kini harus bersedia dengan lawan yang lebih sukar.

Selain itu, beliau turut meletakkan sasaran untuk melayakkan diri pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.