Perak FC nafi lapan pemain muda perlu cari pasukan baru

466

Perak FC menyangkal dakwaan kononnya lapan pemain muda mereka terpaksa mencari pasukan baru tatkala tidak sampai dua bulan lagi Liga Perdana akan membuka tirai kerana tidak memenuhi kehendak dan piawaian ketua jurulatih Yusri Che Lah.

Menurut satu sumber, walaupun tidak terlibat dalam perancangan Yusri, namun kesemua mereka tidak perlu mencari pasukan baru kerana kesemua mereka akan dipinjamkan (on loan) ke pasukan lain.


Lima pemain iaitu Izzat Ramlee, Aizaf Safuan, Nazmi Ahmad, Nazirul Afif dan Khairul Amizan akan ke Manjung City. Dua lagi pemain iaitu Youganes dan Pavithran pula akan dipinjamkan ke pasukan Respect FC / Harini FC.

Manakala Izzaq Izhan pula minta dilepaskan kerana mahu berhijrah ke pasukan UiTM FC.

“Mereka ini semua masih ada kontrak bersama pasukan tetapi tak dapat perhatian Yusri, mereka berkemungkinan salah faham sedangkan pihak pengurusan sudah pun membantu mereka dengan mencari pasukan baru.

Oleh itu, tiada pemain yang tanpa pasukan atau perlu cari pasukan baru sebaliknya semuanya akan dipinjamkan dan ada minta dilepaskan kerana mahu ke pasukan lain,”

ujar satu sumber kepada Harimau Malaya.

Semalam sebuah akhbar tempatan telah melaporkan nasib malang lapan pemain muda Perak yang diminta mencari pasukan baru ketika saingan liga akan bermula kurang dua bulan lagi.

Dalam laporan tersebut, kesemua pemain itu diminta mencari pasukan baru selepas Yusri tidak melibatkan mereka dalam perancangannya.

Mereka juga kecewa apabila diperlakukan seperti itu di saat akhir yang mana mereka kini buntu perlu cari pasukan baru dalam tempoh singkat.

Sejak pengurusan Perak bertukar tangan, mereka tampak sedikit berahsia dalam mendedahkan persiapan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Perdana 2022.