Harapan tunggal keluarga Sidek, Fazriq Razif sahut cabaran meski ‘bahu berat’

92

Apa jua sukan yang diceburi, setiap ahli keluarga atlet tanah air pastinya menginginkan kejayaan yang hebat bagi jaguh mereka dalam mengibarkan Jalur Gemilang ke seantero dunia.

Namun, bayangkan sahaja bagaimana keadaannya didalam ruang rumah keluarga Sidek.


Sejarah kecemerlangan lima Sidek bersaudara di dalam arena sukan badminton selamanya tidak akan pernah terpadam dalam rekod sukan Malaysia.

Setelah berdekad memburu pelapis, kini tiba giliran atlet muda – Fazriq Razif dalam meneruskan legasi keluarga itu.

Pemain beregu lelaki yang merupakan anak bongsu kepada Datuk Razif Sidek itu ternyata sedang meniti tanggungjawab besarnya dalam membawa nama keluarga kembali di dalam carta sukan negara.

Ketika ditemui di Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM) Selasa lalu, beliau tidak menafikan sokongan bapa yang tidak putus mendorongnya untuk sentiasa berikan persembahan di paras optimum.

“Sejak dari kecil, ayah hanya minta saya berikan yang terbaik. Menjadi satu-satunya cucu Sidek, bahu sememangnya agak berat.”

“Beliau tidak pernah berhenti menyokong saya. Baginya saya tidak boleh terlalu banyak berfikir, hanya teruskan fokus bermain.”

Jawabnya kepada wartawan Harimau Malaya.

Sosok ceria itu turut menambah bahawa membiarkan minda jenuh memikirkan soal kejohanan yang akan datang, hanya bakal menjadi lubuk tekanan bagi para pemain.

“Saya lebih gemar meluangkan masa lapang bersama keluarga. Janji fikiran saya ‘away’ dari badminton.”

“Jika terlalu banyak memikirkan soal itu, ia malahan akan bertukar menjadi suatu stres.”

Seperti ahli keluarga atlet yang lain juga, Fazriq akui keluarganya tidak lari dari memberi kritikan kepada dirinya demi melihat kecemerlangan di dalam gelanggang.

“Ada waktunya saya dikritik kerana mereka mahu saya berikan yang terbaik, namun mereka tetap teruskan menyokong. Saya terima kesemuanya dengan hati terbuka.”

Beliau berkata keluarga terbilang itu juga kerap meraikan kemenangannya dengan sebuah makan malam yang lumayan.

November lalu, Fazriq bersama pasangan beregunya, Wong Vin Sean telah menjadi naib johan bagi kejohanan Petronas Malaysia International Challenge 2023.

Mereka berdua telah berjaya membawa pulang USD1200 (RM5,520) menentang wakil beregu lelaki dari Jepun iaitu Takuto Inoue dan Masayuki Onodera dengan 21-16, 18-21, 21-15.

Bagi pemain berusia 19 tahun itu juga, keminatan yang maksimum dalam sesuatu sukan adalah faktor utama yang mendorong seseorang untuk terus berjaya mengatasi apa juga halangan yang mendatang.

“Penting bagi seseorang untuk work hard dan minat sesuatu perkara itu, kerana tanpa minat ianya akan menjadi susah. Seseorang individu perlu ada inisiatif untuk berlatih serta bekerja keras.”

“Jangan putus asa walaupun banyak cabaran di dalam dan di luar setiap permainan, kena tetap bersemangat dan terus berjuang.”

Juggle diantara kariernya sebagai jaguh badminton negara, Fazriq tetap tidak lupa untuk meneruskan pengajiannya.

Beliau merupakan seorang pelajar separuh masa jurusan Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) di Universiti Malaya sejak tiga bulan lalu.

Sempat berkongsi mengenai rutin hariannya yang cukup padat, beliau memulakannya dengan latihan badminton di ABM, makan tengahari, langsung bergegas ke kelas dan kembali ke ABM untuk latihan pada sebelah petang.

“Saya pergi tournaments bawa laptop. Apabila pensyarah hantar coursework assignment, saya akan lakukan sebaik sahaja saya temui masa yang agak lapang.”