Fernando Forestieri akan kekal di Liga Super musim ini selepas kontrak bersama JDT tamat?

200

Penyerang sensasi Fernando Forestieri sah tidak akan menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2024 selepas kontraknya bersama juara bertahan itu tidak disambung.

Biarpun menjadi salah seorang tonggak utama dalam kejayaan pasukan pada musim lalu, namun pengurusan kelab mengambil keputusan untuk melepaskan pemain itu dek pemotongan bajet yang dilakukan pasukan untuk musim ini.


Susulan itu, Forestieri kini berstatus ejen bebas dan boleh berhijrah ke mana-mana pasukan yang inginkan khidmatnya, namun persoalannya kini ke manakah destinasi beliau untuk musim ini.

Adakah beliau akan kekal dalam saingan Liga Super atau akan berhijrah ke liga luar negara kerana sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai destinasi barunya itu.

Ia merupakan peluang buat pasukan-pasukan di Liga Super untuk mendapatkan khidmat pemain kelahiran Argentina itu kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya dalam saingan domestik dan juga di peringkat tertinggi Asia dalam saingan AFC Champions League (ACL).

Untuk rekod, pemain berusia 33 tahun itu sudah membuat penampilan sebanyak 67 kali dengan berjaya menjaringkan 46 gol dan 25 bantuan gol sekaligus meletakkan dirinya dalam senarai penyerang prolifik di Liga Malaysia.

Sepanjang bersama JDT, beliau telah berjaya menjulang pelbagai kejayaan termasuk kejuaraan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Prestasi cemerlangnya bersama Harimau Selatan juga boleh dikatakan antara yang terbaik berbanding kariernya ketika menyarung jersi Sheffield Wednesday dan Watford.

Ini kerana ketika beliau bersama Sheffield Wednesday, beliau yang mempunyai penampilan sebanyak 134 kali hanya berjaya menjaringkan 40 gol dengan 17 bantuan gol.

Manakala ketika bersama Watford pula membuat penampilan sebanyak 92 kali dengan menjaringkan 21 gol dan 23 bantuan gol.

Dengan rekod yang cukup cemerlang, Forestieri merupakan antara pemain import terbaik di liga tempatan ketika ini dan pastinya ramai yang ingin melihat pemain ini terus beraksi di Malaysia.

Bagaimanapun, tanda harga yang tinggi mungkin akan menjadi faktor utama tiada pasukan yang berani untuk mendapatkan khidmat pemain ini kerana semua sedia maklum majoriti kelab di Liga Super berdepan masalah kewangan.

Forestieri yang sudah masak dengan suasana liga tempatan pastinya tidak mahu tersilap langkah menjadi mangsa tak dibayar gaji.

Atas faktor ini juga akan membuatkan pemain itu berhijrah ke kelab besar di Liga 1 Indonesia atau pun Thai League 1.

Tidak mustahil juga untuk melihat beliau kembali ke Eropah untuk beraksi di liga seperti Belgium, Itali, Greece, Polond, Norway, Austria dan lain-lain.

Apa pun sama-sama kita tunggu dan lihat pasukan mana akan jadi pilihan beliau.