Hannah Yeoh gesa atlet RTG maksimumkan potensi dan kurangkan buat kesilapan

36

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh gesa atlet-atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) untuk memaksimumkan potensi mereka dan kurangkan buat kesilapan kerana temasya Sukan Olimpik Paris bakal membuka tirainya dalam tempoh enam bulan lagi.

“RTG adalah jawatankuasa yang memberikan perkhidmatan ‘top up’ kepada atlet yang mana mereka ini adalah atlet yang berada dalam kedudukan Top 10 dunia dalam sukan masing-masing.

Jadi untuk kita singkirkan atau masukkan mereka adalah berdasarkan kedudukan semasa ranking mereka. RTG juga bukan program yang menggantikan program Podium, jadi sokongan diteruskan kepada semua atlet.

Kita mahu dalam tempoh beberapa bulan ini atlet-atlet kurangkan buat kesilapan dan maksimumkan potensi mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, mana-mana atlet yang tidak layak ke Olimpik akan secara automatik digugurkan dari RTG.


Dalam pada itu, Hannah turut mempertahankan tindakan lagenda badminton negara yang juga Ahli Jawatankuasa RTG iaitu Datuk Wira Lee Chong Wei yang telah mengkritik pemain badminton negara baru-baru ini berikutan prestasi hambar yang dipamerkan oleh mereka.

Menurutnya, Chong Wei mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidangnya sekaligus kritikan yang dilontarkannya itu mempunyai asas.

“Datuk Wira Lee Chong Wei sudah lama berada dalam bidang beliau dan beliau mempunyai pengalaman cukup luas. Saya percaya input beliau ada asasnya.

Seperti yang saya katakan kritikan ini kalau kita terima secara terbuka, kita boleh buat penambahbaikan.

Kalau beliau tiada asas buat teguran, tiada orang lain di Malaysia yang ada kelayakan untuk membangkitkan isu ini.”