Siti Nurshuhaini sudah bersedia untuk pamer aksi terbaik di Uber Cup

48

Pemain badminton perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman memberitahu bahawa beliau sudah bersedia untuk untuk mempamerkan aksi terbaiknya dalam kejohanan Uber Cup yang akan berlangsung di Chengdu, China bermula 28 April hingga 5 Mei ini.

“Untuk kejohanan Uber Cup kali ini saya lebih bersedia. Persiapan saya kini sudah pun mencapai 80%,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ini adalah kali kedua Nurshuhaini akan beraksi dalam kejohanan Uber Cup dan beliau mahu pastinya dirinya dapat memberikan keputusan yang lebih baik berbanding penampilan pertamanya di kejohanan itu.


“Untuk Uber Cup, ini adalah kali kedua kerana pada kali saya sedikit gemuruh tapi untuk kali kedua ini saya berasa lebih teruja untuk bermain dan sekiranya diberi peluang pastinya saya mahu sumbang mata buat pasukan kebangsaan.”

Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun berkata beliau menyedari bahawa pasukan negara kali ini dibarisi oleh ramai pemain-pemain muda tapi mereka tetap bertekad untuk buat yang terbaik pada kejohanan itu nanti.

“Walaupun ramai pemain muda tapi kami akan buat yang terbaik. Bagi saya setiap pemain tidak kira junior atau senior mempunyai kelebihan mereka tersendiri, jadi saya tidak melihat banyak perbezaan dari situ.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.