‘Nasi sudah jadi bubur’, usah terus-menerus kecam pemain muda negara

28

Sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap pasukan kebangsaan B-23 di Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar meleset apabila skuad negara tersingkir awal selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Biarpun sudah tersingkir sebelum menjelang aksi terakhir menentang Kuwait, ramai peminat meletak harapan tinggi untuk melihat skuad kendalian Juan Torres Garrido sekurang-kurangnya pulang dengan tiga mata dek prestasi hambar pasukan lawan.


Namun percaturan skuad negara serba tak kena biarpun menguasai perlawanan dengan beberapa peluang tetapi kad merah menjadi ‘turning point’ yang menyaksikan Kuwait mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol.

Walaupun Malaysia berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Haqimi Azim namun ia sudah terlambat untuk kembali menyebabkan mereka tewas 2-1.

Perit untuk menerima kekalahan ini tapi apa yang lebih sedih apabila ketua pasukan, Mukhairi Ajmal dalam sesi temubual selepas tamat perlawanan sebak memberikan kenyataan mengakui tidak bermain dengan baik sepanjang kejohanan ini termasuk sedar ramai yang tidak suka dengannya.

Sememangnya tiada masalah untuk peminat mengkritik prestasi pemain yang tidak bermain dengan baik kerana mereka juga mempunyai hak berbuat demikian kerana tanpa peminat, pastinya suram sesebuah pasukan itu.

Tetapi diharap peminat tidak mengkritik dengan kata-kata kesat yang berlebihan kerana pemain sudah buat yang terbaik sepanjang kejohanan termasuk mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri demi tugasan negara.

Ramai yang berkata apa yang berlaku kepada skuad negara di Piala Asia bukan salah pemain serratus peratus tetapi perancangan yang tidak baik menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

Sama seperti skuad senior Harimau Malaya yang ‘layu’ dua kali di tangan Oman dalam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, skuad ‘adik’ juga menerima nasib yang sama apabila kesemua pemain tidak mempunyai ‘match fitness’ yang tinggi dek saingan liga belum bermula.

Malah persiapan pasukan juga tampak tidak begitu bagus apabila mereka tidak mendapat banyak perlawanan berintensiti tinggi.

Dengan apa yang berlaku FAM harus segera untuk melakukan ‘post-mortem’ dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum.

Mungkin perubahan drastik perlu dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air yang dilihat semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Apa-apa pun diharap kesemua pemain muda negara segera lupakan episod hitam di Qatar dan kembali bangkit untuk aksi seterusnya.