Kegagalan di Piala Asia B-23 hanya akan mematangkan mereka lagi untuk masa hadapan – Nidzam Jamil

27

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil bangga dengan pemain-pemain yang beraksi pada kejohanan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar baru-baru ini biarpun pasukan kebangsaan tersingkir awal selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Menurut Nidzam, beliau enggan mengulas mengenai keputusan perlawanan sebaliknya berkata kegagalan di kejohanan itu akan mematangkan kesemua pemain di masa hadapan.


“Jujur saya cakap saya sangat bangga dengan mereka (pemain Selangor) kerana ia bukan mudah untuk pemain seperti Muhammad berusia 19 tahun, Mukhairi berusia 21 tahun tapi tanggungjawab yang digalas cukup besar dan beberapa lagi.

Kesemua lapan pemain (dari Selangor) telah memberikan komitmen penuh. Ya bola sepak adalah sukan yang lasak sikit tapi bukan dekat permainan tapi dari segi respon dan dari segi tak dapat keputusan tapi kesemua lapan pemain ini yang saya kenal lebih dua tahun ini sentiasa memberi 100% komitmen.

Saya rasa apa yang mereka lalui ketika ini (gagal di Piala Asia) hanya akan mematangkan mereka lagi untuk masa hadapan,”

katanya.

Dalam pada itu, Nidzam turut memuji kematangan pemainnya yang ada keberanian untuk luahkan apa yang mereka rasa.

“Saya tahu mereka semua budak-budak yang matang. Mereka bukan sasterawan benda-benda bagus saja di tv, kadang-kadang emosi mereka yang mereka cakap itu saya hormat. Ia menunjukkan mereka ada keberanian untuk cakap apa yang mereka rasa.”

Lapan pemain Gergasi Merah yang menyarung jersi kebangsaan di Piala Asia B-23 baru-baru ini adalah Mukhairi Ajmal, Syahir Bashah, Azim Al Amin, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Nooa Laine, Izwan Yuslan dan Muhammad Abu Khalil.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Selangor Kusel Asia Chanllenge 2024 yang akan membuka tirainya hari ini.