Usia bukan penghalang untuk terus beraksi di atas padang – Faiz Subri

214

Bekas pemenang Anugerah Puskas pada tahun 2016, Faiz Subri akhirnya kembali ke kancah Liga Malaysia bersama pasukan Penang FC selepas hampir dua tahun tidak beraksi.

Faiz yang berusia 34 tahun kembali menyarung jersi Harimau Kumbang selepas tiga tahun meninggalkan pasukan itu sedar beliau perlu bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik.


“Alhamdulillah rezeki saya dapat tawaran untuk sarung jersi Penang balik selepas dua tahun tidak beraksi. Saya perlu bekerja keras untuk tahun ini kerana sudah lama tidak beraksi di saingan tertinggi seperti Liga Super.

Bagi saya usia bukanlah penghalang untuk saya terus beraksi kerana saya akan terus bermain selagi khdimat diperlukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu Faiz menerima nasib malang selepas menandatangani kontrak bersama Perlis apabila beliau tidak menerima gaji seperti yang dijanjikan.

Bukan Faiz seorang sahaja, malah ramai bintang bola sepak terkenal seperti Safee Sali, Amiridzwan Taj Tajuddin, Badhri Radzi, Khyril Muhymeen dan beberapa lagi menjadi mangsa scam Presiden Perlis ketika itu iaitu Datuk Ahmad Amizal Shaifit.

Selepas meninggalkan pasukan Perlis, beliau menyertai pasukan Kuala Kangsar FC yang bermain di Liga M3, bagaimanapun nasib malangnya berterusan apabila saingan liga terpaksa dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19.

Rentetan itu Faiz menasihati pemain-pemain lain supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasukan supaya tidak menjadi mangsa sepertinya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan Penang untuk musim ini, beliau berkata semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Malah mereka menyasarkan untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.

Pada tahun 2021, Penang telah mengejutkan ramai apabila berjaya menduduki tangga ketiga biarpun baru naik ke Liga Super ketika itu.