Hafizul Hakim akui PAFA masih belum langsaikan tunggakan gaji

517

Bekas penjaga gol utama Perak FC, Hafizul Hakim mengakui pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) masih lagi belum melangsaikan tunggakan gajinya.

Hafizul yang dihubungi memberitahu bahawa pihak pengurusan Perak masih belum melangsaikan separuh lagi tunggakan gajinya.


“Belum selesai lagi. Mereka masih belum jelaskan baki tunggakan dua bulan setengah gaji. Kalau ikutkan pihak pengurusan sepatutnya menjelaskan bayaran terakhir pada 31 Januari lalu tapi tak dapat.

Mereka bagaimanapun telah menghubungi untuk minta diberi masa. Peguam saya ada memaklumkan kepada saya yang Perak dikatakan menjelaskan baki tunggakan esok,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi yang tunggakan gajinya akan selesai esok berikutan sudah banyak kali janji tidak ditepati.

Tambahnya lagi, selain tunggakan gaji pemain, pihak pengurusan turut berhutang dengan barisan kejurulatihan.

“Bukan pemain sahaja yang mengalami masalah tunggakan gaji, tetapi satu pasukan (pemain, barisan kejurulatihan dan lain-lain).

Terdapat laporan yang kata Perak akan selesai hutang RM1.7 juta tu tak silap saya itu hanya untuk import sahaja. Jumlah keseluruhan tunggakan lebih besar.”

Sekiranya pihak pengurusan masih tidak menjelaskan tunggakan gaji, Hafizul bersama yang lain akan mengambil tindakan selanjutnya bagi memastikan hak mereka terbela.

Dalam pada itu, Hafizul yang turun beraksi ketika Penang FC menentang Terengganu II meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan insiden pergaduhan membabitkan pemain dari kedua-dua pasukan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai insiden tersebut berikutan dilarang oleh pihak pengurusan.

“Saya tidak dapat nak ulas lanjut mengenai insiden itu sebab pihak pengurusan tak benarkan. Apa-apa pun saya agak kesal juga dengan apa yang berlaku. Ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia sudah terlambat. Saya harap pemain-pemain yang terlibat tidak akan dikenakan hukuman yang terlalu berat.”

Terdahulu Penang turun menentang Terengganu II dalam perlawanan terakhir dalam saingan Piala Menteri Besar Terengganu menjadi tumpuan apabila insiden pergaduhan tercetus pada penghujung babak pertama.

Insiden itu telah menyebabkan pemain Penang iaitu Adib Raop mengalami kecederaan patah hidung. Susulan insiden itu, Penang mengambil keputusan untuk meninggalkan stadium sekaligus memberi kemenangan percuma kepada Terengganu II.