Hafizul Hakim seru bekas rakan sepasukan tampil bersuara

235

Penjaga gol Penang FC, Hafizul Hakim menyeru bekas rakan sepasukannya di Perak FC untuk tampil keluar dan bersuara mengenai masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh mereka ketika ini.

Hafizul yang juga merupakan salah seorang bekas pemain Perak musim lalu paling lantang bersuara apabila pihak pengurusan Perak gagal menunaikan janji mereka untuk melunaskan baki tunggakan gaji yang sepatutnya dijelaskan pada 15 Februari.


“Pemain-pemain lain keluar (bersuara), jangan senyap,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa sama Hafizul juga tidak akan terus menunggu sebaliknya akan membuat tindakan undang-undang bagi menuntut haknya.

“Saya lantang bersuara kerana saya mewakili pemain-pemain Perak lain. Kami ada Whatsapp group, jadi kami akan berbincang. Apabila kami berbincang, ramai yang mahu kami teruskan dengan membuat tindakan. Ia bukan tindakan daripada saya seorang.”

Terdahulu pemain berusia 28 tahun tampil mendedahkan bahawa pihak pengurusan baru Perak hanya menyelesaikan separuh dari tunggakan gaji dan berjanji akan melunaskan segala tunggakan pada pertengahan bulan Februari.

Bagaimanapun apabila tiba waktu yang dijanjikan, pemain terpinga-pinga apabila tidak mendapat sebarang bayaran selain tiada siapa dari pihak pengurusan menghubungi mereka bagi menjelaskan situasi sebenar.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain Perak iaitu Syamin Baharuddin turut meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap bekas majikannya yang mengambil pendekatan mendiamkan diri.

“Sama seperti Hafizul, saya juga mendapat surat yang mengatakan bahawa tunggakan gaji akan dibayar pada 15 Februari, tetapi apabila sampai masa tiada sesiapa pun dari pihak pengurusan menghubungi saya dan senyap saja.”

Masalah yang dihadapi oleh pengurusan Perak bukan sahaja menjejaskan bekas pemain yang masih belum mendapat tunggakan gaji tetapi juga tiga pemain bintang baru mereka yang tidak boleh boleh didaftarkan berikutan dikenakan larangan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tiga pemain tersebut adalah Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal dan Ahmad Syamin Yahya.

Walaupun tidak dapat didaftarkan, namun Ketua Pegawai Eksekutif-nya Yunus Zakarai tetap menegaskan bahawa ketiga-tiga pemain itu telah menandatangani kontrak bersama The Bos Gaurus.

Mereka akan didaftarkan bersama pasukan pada jendela perpindahan kedua pada Mei depan.