PAFA punca kemelut dalaman bola sepak Perak!

216

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Larut Matang Selama, Tuan Ahmad Feisal menganggap konflik dalaman yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) perlu diselesaikan segera sebelum ianya menjadi lebih parah.

Konflik dalaman ini berlaku selepas perletakan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Bendahari Kehormat pada Januari 2021. Selaku ahli badan gabungan PAFA semenjak 2019, beliau merasakan PAFA menjadi punca utama kepada berlakunya pergolakan ini.


“Sebenarnya konflik bermula sudah lama selepas perletakan jawatan mantan Presiden, Timbalan Presiden & Bendahari Kehormat. Sepatutnya mesyuarat agung tahunan diadakan bagi membincangkan hala tuju persatuan bersama ahli gabungan yang lain, namun barisan kepimpinan meletakkan jawatan sebelum AGM”

katanya kepada Harimau Malaya

Beliau turut menjelaskan bahawa pada permulaan musim 2021, tunggakan gaji pasukan adalah sebanyak sekitar RM 6 juta. Dan dengan ketiadaan presiden pada ketika itu, hala tuju PAFA dilihat terumbang ambing.

Bagi menambahkan parah kepada luka yang sedia ada, isu-isu ini berlaku ketika ulangtahun ke-100 penubuhan PAFA dalam Liga Malaysia. PAFA adalah pemilik Perak FC pada ketika ini, namun beliau menegaskan bahawa pihak atasan tidak serius untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membantu pasukan pada ketika itu.

“PAFA hanya mengadakan sekali sahaja mesyuarat untuk membincangkan hala tuju pasukan biarpun mengetahui pasukan sedang mengalami masalah pada ketika itu. Jadi sebagai pemilik pasukan, apa solusi yang akan diberikan oleh mereka?”

katanya kepada Harimau Malaya

Sebagai pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Daerah LMS, beliau telah menghantar surat kepada Pesuruhjaya Sukan dan PAFA untuk melantik presiden baru dengan segera. Namun, tindakan beliau dilihat seolah-olah ingin mencabar kredibiliti PAFA sehingga persatuan bola sepak daerah itu disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan PAFA.

Ahli-ahli gabungan juga dilihat bertelagah untuk menentukan siapa yang selayaknya menjadi nakhoda baru. Kata sepakat tidak dapat dicapai, malah dikhuatiri akan semakin memburukkan keadaan.

“Patutnya ahli-ahli gabungan duduk semeja, bukannya bergaduh. Jangan tunjuk siapa terer. Kena cari workable solution

katanya kepada Harimau Malaya

Mengenai penjualan Perak FC kepada Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) yang dikhabarkan bernilai sekitar 14-15 juta, beliau berkata perkara itu mungkin tidak berlaku kerana tiada bukti yang sah.

“Kalau betul lah RM 14 juta, mesti tunggakan gaji RM 1.7 juta dah selesai. Tak ada black and white membuktikan IMC beli Perak FC dengan jumlah itu”

katanya Harimau Malaya