Sampai bila nak kerajaan negeri bantu sukan bola sepak?

223

Umum mengetahui bahawa setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia perlu melalui proses penswastaan iaitu perubahan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC).

Namun, apabila melihatkan isu-isu seperti tunggakan gaji yang kerap berlaku sehinggakan terpaksa mengemis dana daripada kerajaan negeri, ianya seolah-olah menunjukkan bahawa pasukan-pasukan ini hanya diswastakan cuma di atas kertas semata-mata bukan secara praktikalnya.


Terbaru, kemelut yang berlaku dalam Perak FC yang dibebani hutang sebanyak RM 1.7 juta akibat daripada gaji tertunggak. Biarpun sudah diswastakan dan mempunyai pemilik yang baru, namun isu ini masih tidak selesai.

Malah dikhabarkan juga kerajaan negeri juga akan memberikan sedikit dana demi memastikan kelangsungan bola sepak negeri Perak. Jadi, jika sudah diswastakan mengapa kerajaan negeri masih lagi membantu daripada sudut dana dan perbelanjaan pasukan?

Timbul persoalan pula adakah dana tersebut sebenarnya lebih perlu digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting seperti kebajikan rakyat, fasiliti dan prasarana yang dilihat lebih memberi manfaat kepada rakyat khususnya di negeri Perak.

Jika sekiranya kerajaan negeri tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk pembangunan bola sepak, apakah akan terjadi kepada pasukan tersebut?

Syarikat yang mengambil alih pasukan juga dilihat masih lagi belum mempunyai perancangan untuk menyelesaikan hutang-hutang lapuk musim lepas. Tidak dapat dipastikan mengapa mereka begitu berani menjadi pemilik baru pasukan biarpun kedudukan kewangan mereka masih menjadi tanda tanya.

Mengambil iktibar kejadian yang berlaku kepada pasukan bola sepak Perlis yang terpaksa disingkirkan akibat bebanan hutang yang terlalu tinggi sedikit masa lalu, sudah semestinya pemerhati bola sepak tempatan tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada pasukan sebesar Perak ini.