Siapa lebih sesuai, Asri Ninggal atau Nazrulerwan Makmor?

459

Kerana mulut, badan binasa. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk dikaitkan dengan insiden yang membabitkan Risto Vidakovic.

Pihak pengurusan secara rasmi merehatkan Vidakovic atas alasan prestasi Melaka United FC yang tidak memberangsangkan.


Menurut peminat bola sepak tanah air, tindakan merehatkan Vidakovic berpunca daripada komen beliau yang mencalarkan imej kelab dan bukannya kerana prestasi semasa Melaka.

Susulan Vidakovic direhatkan, penolong jurulatih Asri Ninggal kini diberikan tanggungjawab memimpin pasukan sementara pihak pengurusan mengenal pasti calon yang tepat untuk menggalas jawatan ketua jurulatih.

Kini ada khabar angin yang mengatakan bahawa Melaka sudah mempunyai calon baru bagi mengisi jawatan ketua jurulatih iaitu Asri dan Nazrulerwan Makmor.

Bagaimanapun pihak pengurusan Melaka tidak boleh terburu-buru untuk melantik ketua jurulatih baru kerana mereka perlu buat penelitian terlebih dahulu bagi memastikan sesiapa yang dilantik mampu mengendalikan pasukan itu dan bukannya tangkap muat saja.

Nama Asri tidak asing bagi peminat bola sepak Melaka kerana beliau adalah pemain kelahiran Melaka yang menjadi tonggak utama ketika waktunya bersama pasukan di Liga Malaysia sekitar tahun 80 dan 90-an.

Sebagai seorang jurulatih, umum mengetahui sebagai penolong jurulatih Melaka beliau merupakan antara watak penting yang membentuk skuad sehingga pada tahun 2007 Melaka berjaya ke Liga Super.

Kejayaan tampak sinonim dengan Asri apabila penghijrahannya ke Negeri Sembilan FC sebagai penolong jurulatih pada 2015 juga telah berjaya membawa Negeri Sembilan mencapai kedudukan tertinggi dalam Liga Perdana pada tahun yang sama.

Walaupun nama Asri bukanlah salah satu daripada nama yang menjadi sebutan ramai, tidak dapat dinafikan beliau merupakan salah satu ‘otai’ dalam dunia bola sepak.

Seorang lagi calon iaitu Nazrulerwan juga seorang yang tidak kurang hebatnya. Seperti Asri, beliau juga merupakan bekas pemain profesional, salah seorang pemain yang menyumbang kepada kejayaan Selangor meraih treble pada tahun 2005.

Berbekalkan pengalaman bermain di pelbagai kelab, ilmu itu dipraktikkan dalam kariernya sebagai jurulatih. Bermula dengan menyertai PDRM FC sebagai salah seorang daripada jurulatih, kejayaan Nazrulerwan memuncak ketika dia membimbing Kelantan United FC (KUFC).

Dari segi pengalaman, Asri dilihat sebagai calon yang jelas untuk membimbang pasukan Melaka, tetapi jika Nazrulerwan dipilih oleh pihak pengurusan itu bukanlah suatu perkara yang mengejutkan.

Kedua-dua jurulatih sememangnya berkelayakan untuk membimbing Melaka jadi peminat semestinya tidak sabar untuk menunggu siapa yang bakal menjadi jurulatih baru kelab tersebut.