Guilherme de Paula tak peduli kritikan penyokong

733

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula memberitahu bahawa beliau tidak pernah kisah atau peduli dengan segala kritikan dan tohmahan penyokong terhadap aksi persembahannya.

Menurut De Paula, beliau hanya fokus pada permainan dan arahan yang diberikan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.


“Dari dulu lagi saya tidak ambil kisah dan peduli dengan kritikan terhadap saya kerana fokus saya adalah memberikan aksi persembahan terbaik mengikut arahan daripada jurulatih.

Setiap kali saya dan rakan sepasukan turun berlatih, jurulatih sentiasa meminta lebih daripada kami supaya kami dapat pamerkan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan,”

katanya.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikritik hebat sejak mempamerkan aksi hambar ketika bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini dan penyokong berang apabila namanya kembali dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan.

De Paula bagaimanapun telah membuktikan beliau masih lagi berbisa dan tajam apabila berjaya menjaringkan satu gol menerusi penalti dan satu bantuan gol ketika membantu skuad negara menewaskan pasukan Brunei dalam perlawanan Antarabangsa Tier 1 malam tadi.

Penyerang berusia 35 tahun itu tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama yang mana ketika itu Malaysia mendahului dengan dua gol, bagaimanapun pada separuh masa kedua beliau telah dimasukkan De Paula mempamerkan aksi mantap apabila terlibat dalam kedua-dua gol pada separuh masa kedua.

Dalam pada itu, De Paula turut berkata beliau akan terus memberikan aksi terbaiknya sekiranya disenaraikan lagi pada satu lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 1 Jun ini.

“Saya tak kisah sesiapa sahaja yang menjaringkan gol kerana bagi saya apa yang penting saya dapat bantu pasukan menang.”

Selepas ini Malaysia akan menentang Hong Kong pula pada perlawanan persahabatan kedua sebelum Pan-gon membuat keputusan pemain mana yang akan dipilih untuk saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 8 Jun ini.