Jamal Bhuyan yakin Bangladesh mampu jaringkan gol menentang Turkmenistan

759

Kapten pasukan Bangladesh, Jamal Bhuyan yakin mereka mampu membuka akaun jaringan apabila menentang Turkmenistan dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia 2023 Sabtu ini.

Pada perlawanan pertama menentang Bahrain, pasukan Bangladesh tewas 2-0 dan banyak bermain secara bertahan.


“Kami tidak memikirkan kekalahan lalu kerana saya merasakan kami bermain dengan baik sekali kerana kami hanya bolos menerusi set-piece, jadi fokus kami adalah pada perlawanan seterusnya menentang Turkmenistan.

Memang kami mahu menang tapi untuk mencapai sasaran itu kami perlu yakin dan perlu menjaringkan gol. Jika kami dapat berbuat demikian sudah pasti kami akan mendapat keputusan yang positif,”

katanya.

Beliau juga mendedahkan prestasi pasukan Bangladesh semakin meningkat sejak Javier Cabrera mengambil alih pasukan dan penyokong kini sudah memberikan sokongan padu kepada mereka.

Malah Jamal juga mengakui banyak perubahan positif yang berlaku dalam kem Bangladesh sejak pengendali dari Sepanyol itu ambil alih pasukan.

“Sejak beliau ambil alih, saya dapat lihat perubahan yang berlaku seperti struktur bola sepak lebih teratur, kami sering membuat video analisis dengan jurulatih dan ia sangat membantu setiap pemain. Sudah lama kami tidak mendapat jurulatih seperti ini.”

Dalam pada itu, Cabrera juga berkata anak buahnya sudah bersedia untuk perlawanan esok dan menjanjikan satu aksi persembahan yang menarik.

Beliau juga mendedahkan akan mengekalkan taktikal yang sama ketika menentang Bahrain tempoh hari lalu.

“Kami akan bermain seperti ketika menentang Bahrain, tetapi apa yang perlu kami perbaiki adalah taktikal ketika kami menyerang supaya lebih pantas dan efektif. Jika kita lihat perlawanan pertama kami tewas kerana dua gol set-piece dan bukannya melalui permainan terbuka.”

Tidak dapat dinafikan Bangladesh menerapkan permainan low defending yang menyebabkan pihak lawan sukar untuk menembusi barisan pertahanan selain kecekapan penjaga gol, Anisur Rahman Zico, yang banyak kali menyelamatkan situasi cemas.

Bangladesh perlu menang dalam perlawanan menentang Turkmenistan sekiranya mereka mahu menghidupkan peluang mereka untuk layak ke Piala Asia 2023.

Pada perlawanan terakhir pada 14 Jun ini, Bangladesh akan bertemu dengan pasukan tuan rumah Malaysia yang akan menjadi perlawanan penentuan di antara kedua-dua pasukan samada akan layak atau tidak.