5 Sebab Tan Cheng Hoe perlu kekal kendali skuad Harimau Malaya

167

Sejak dua tiga hari ini sememangnya dunia bola sepak tanah air sedang hangat memperkatakan mengenai ketua jurulatih skuad Malaysia iaitu Tan Cheng Hoe selepas pasukan negara gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas dimalukan oleh Indonesia pada perlawanan terakhir dalam kumpulan B di Piala AFF 2020.

Rata-rata peminat mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab atas kekalahan pasukan Malaysia dan segera membuat rombakan termasuk menukar ketua jurulatih yang dikatakan gagal membentuk sebuah pasukan mantap.


Sememangnya ada pihak yang perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini tetapi kesalahan ini tidak boleh dituding kepada Cheng Hoe sahaja sebaliknya kepada pihak FAM yang gagal memastikan pengendali Harimau Malaya ini membuat persedian rapi sebelum terbang ke Singapura.

Bagaimanapun kali ini kami tidak mahu kupas mengapa Cheng Hoe perlu digantikan dengan jurulatih lain tetapi mengapa FAM perlu kekalkan Cheng Hoe.

1. Pemain Harimau Malaya sudah serasi dengan Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe sudah empat tahun mengendalikan skuad kebangsaan dan sudah mengharungi lebih 40 perlawanan bersama, jadi keserasiannya dengan pemain negara jelas dapat dilihat dengan beberapa kejayaan bersama termasuklah berjaya menewaskan pasukan Indonesia dua kali berturut-turut ketika kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

2. Pusing ketiga kelayakan Piala Asia 2023 semakin dekat

Amat tidak bijak sekiranya FAM mengambil keputusan untuk menukar ketua jurulatih ketika ini kerana pasukan negara kini perlu membuat persiapan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022. Jika berlaku pertukaran ketua jurulatih dalam masa terdekat ia akan membawa malapetak buat skuad kebangsaan.

3. Tan Cheng Hoe punya trek rekod yang agak cemerlang

Hanya kerana gagal ke peringkat separuh akhir Piala AFF tidak bermakna segala kejayaan yang dikecapinya sepanjang mengendalikan pasukan Harimau Malaya sebelum ini tidak diambil kira. Ini apa yang terjadi kepada pasukan negara di Singapura bukannya salah Cheng Hoe seratus peratus.

4. Tan Cheng Hoe perlu diberi kebebasan dalam membuat keputusan tanpa campur tangan dari pihak lain

Apa yang terjadi kepada skuad Harimau Malaya ini dikatakan bukanlah berpunca daripada Cheng Hoe tetapi daripada ‘tangan ghaib’ yang didakwa mencampuri urusan jurulatih dalam pemilihan pemain dan berapa pemain yang perlu dibawa ke Singapura. Jadi untuk pastikan samada percaturan Cheong Hoe berkesan, FAM perlu meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada Cheng Hoe untuk memanggil mana-mana pemain yang dimahukannya. Pihak pasukan Liga Malaysia juga perlu memberi kerjasama dengan melepaskan pemain mereka bermain untuk negara.

5. Taktikal ‘modern football’ Tan Cheng Hoe masih relevan

Cheng Hoe pernah mengambil alih pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika dalam keadaan merudum dan hanya mengambil tempoh yang singkat untuk mengembalikan status gergasi Utara KDA FC yang terkenal dengan corak permainan ‘tiki-taka’. Jadi rasanya tiada masalah untuk beliau untuk menerapkan falsafah bola sepaknya kepada pasukan negara. Apa yang paling penting adalah tiada campur tangan dalam setiap urusan dan keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe. Jika perkara ini berlaku, maka sesuatu ‘ajaib’ bakal berlaku.