Syafiq Ahmad pilihan utama sebenar ketua pasukan, atasi Cools dan Safawi

1,330

Pada perlawanan akhir King’s Cup 2022 menentang Taijikistan, Syafiq Ahmad dilihat telah menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan mengatasi dua lagi pemain, Dion Cools dan Safawi Rasid.

Ketiga-tiga pemain ini adalah calon ketua pasukan yang telah dipilih oleh jurulatih dari Korea Selatan tersebut selepas Farizal Marlias tidak tersenarai untuk panggilan kebangsaan kali ini.


Pada perlawanan pertama, Cools telah dilantik sebagai ketua pasukan kerana Syafiq diletakkan di bangku simpanan bagi memberi laluan kepada seorang lagi penyerang negara, Darren Lok untuk beraksi dalam separuh masa pertama.

Namun, ketiga-tiga pemain ini telah diletakkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan akhir ini dan Syafiq diangkat sebagai ketua pasukan.

Situasi ini memberi sedikit gambaran bahawa Syafiq sebenarnya berada di kedudukan tertinggi untuk menjadi ketua pasukan diikuti oleh Cools dan Safawi sebagai pilihan ketiga.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun tersebut juga telah diberikan tugas yang sama sewaktu perlawanan terakhir di pusingan kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh yang berakhir dengan keputusan 4-1.

Ini jelas menunjukkan bahawa Pan-gon sebenarnya lebih gemar meletakkan Syafiq sebagai ketua pasukan berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau setiap kali diturunkan.

Pada masa yang sama, sekiranya khabar angin Cools berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada tahun hadapan menjadi kenyataan, dominasi kelab tersebut di dalam skuad kebangsaan akan terus bertambah.

Ini kerana, mereka bukan sahaja mempunyai wakil teramai di dalam pasukan Harimau Malaya malah kesemua ketua pasukan juga turut dimonopoli oleh kelab tersebut.

Terdahulu, Farizal dan Safiq Rahim yang juga merupakan wakil dari pasukan Harimau Selatan adalah antara pemain senior yang sering diberikan tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, besar harapan peminat untuk melihat Syafiq dapat menggunakan kelebihan ini sebagai pembakar semangat untuk beliau kembali mendapatkan rentak kecemerlangannya sepertimana yang pernah ditonjolkan suatu ketika dahulu.

Sepanjang diturunkan di King’s Cup, Syafiq berjaya mempamerkan kesungguhan permainan yang cukup tinggi namun ia tidak mencukupi tanpa sebarang jaringan.

Pan-gon dilihat masih mencari solusi terbaik dalam usaha untuk mendapatkan seorang penyerang yang tajam di bahagian depan untuk mencari penyudah.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang tersebut perlu terus berusaha untuk kembali mendapat tempat bersama kelabnya di dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selepas kembali dari tempoh pinjaman bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq hanya beraksi sebanyak lima kali sahaja dan kesemua daripadanya adalah sebagai pemain gantian.

Perkara ini sedikit sebanyak menjadi faktor utama untuk beliau yang tampak bergelut untuk memberikan aksi terbaik berbanding Darren yang lebih cemerlang sebagai pemain utama pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Momentum kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh kesemua pemain negara buat masa ini perlu terus dikekalkan bagi membolehkan mereka memberi saingan di kejohanan Piala AFF 2022 yang bakal berlangsung bermula Disember ini.

Gergasi Asia Tenggara, Vietnam akan menjadi pesaing utama di dalam Kumpulan B di samping pasukan Singapura yang semakin menyinar.