Masa terbaik untuk beri Badrul Afzan peluang, pengganti terbaik untuk TFC sekiranya Nafuzi Zain angkat kaki

487

Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC) II, Badrul Afzan mungkin jadi calon terbaik untuk menggantikan ketua jurulatih utama TFC, Nafuzi Zain yang dikatakan bakal berpindah pada musim hadapan.

Terdahulu pada perlawanan Liga Super menentang Penang FC, Nafuzi telah memberi bayangan bakal meninggalkan posisi yang telah dipegang olehnya selama tiga musim.


Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, tugas berat untuk pihak pengurusan TFC bagi mencari pengganti terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh yang singkat.

Badrul dilihat mempunyai reputasi yang agak baik selaku jurulatih tatkala beliau berjaya membawa pasukan TFC II untuk beraksi dengan baik di dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Sepanjang 18 perlawanan, pasukan tersebut berjaya mencatatkan 10 kemenangan dan hanya bolos 18 kali.

TFC II berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan untuk berada di tangga keempat liga buat masa ini meskipun dengan ketiadaan penyerang utama, Jordan Mintah yang telah dipinjamkan kepada pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC pada pertengahan musim.

Statistik yang agak baik untuk sebuah skuad yang dibarisi oleh bakat muda dan berjaya memberi saingan kuat kepada pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II dan Kelantan FC yang mempunyai pemain jauh lebih berpengalaman.

Kredibiliti Badrul juga telah berjaya dibuktikan baru-baru ini selepas beliau berjaya membimbing pasukan Terengganu untuk meraih ‘ibu segala pingat’ di dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini setelah menewaskan pasukan Pulau Pinang dengan keputusan 2-0 di perlawanan akhir.

Meskipun mempunyai rekod yang cukup memberangsangkan, Badrul sehingga kini masih berteka-teki tentang masa depannya bersama kelab tersebut ekoran daripada perubahan format Liga Malaysia (Liga M) musim depan yang bakal memansuhkan saingan Liga Perdana.

Pihak pengurusan TFC perlu mempertimbangkan kesemua perkara ini berbanding mencari pengganti yang baru dan mungkin menelan perbelanjaan yang jauh lebih besar.

Tambahan pula, hubungan baik Badrul bersama pemain-pemain muda seperti ketua pasukan SUKMA Terengganu, Muhammad Safwan Mazlan mungkin menjadi antara kelebihan yang baik buat skuad Sang Penyu.

Safwan yang sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Projek FAM-MSN berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang diturunkan pada SUKMA tahun ini serta berhasil untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Pemain berusia 22 tahun tersebut merupakan antara pemain muda TFC II yang memiliki potensi besar untuk terus menonjol di masa hadapan.

Buat masa ini, Badrul dikhabarkan telah menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain untuk melatih pasukan Liga Simpanan mereka.

Namun, jurulatih tersebut belum membuat sebarang keputusan muktamad dan berharap agar dapat terus menabur bakti buat negeri kelahirannya.

TFC perlu mendapatkan sentuhan seorang jurulatih yang mampu meneruskan kecemerlangan yang telah dihasilkan oleh Nafuzi pada beberapa musim ini.

Tahun ini, mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA serta memiliki peluang untuk memintas pasukan Sabah FC atau Negeri Sembilan FC bagi merebut slot layak secara automatik ke saingan Piala AFC musim depan.