Walaupun hanya seminggu persiapan, pasukan bola sepak pantai negara sasar jadi juara kejohanan AFF

188

Ketua jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan, Wan Adremy Indera Wan Adnan bertekad mahu mempertahankan kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF yang dimenangi sebelum ini pada edisi 2022 di Chonburi, Thailand.

Menurutnya, ketiga-tiga pasukan yang bertanding termasuk Thailand dan Indonesia mempunyai peluang untuk merebut gelaran namun percaya dengan persefahaman yang telah dibentuk oleh anak-anak buahnya.


“Kekuatan kita masih lagi kepada pemain-pemain lama yang sudah serasi dengan taktikal yang saya terapkan, gaya bola sepak pantai moden dan berintensiti tinggi, jadi saya harap keserasian mereka boleh beri impak besar dalam kejohanan ini.

Kita ada beberapa orang muka baru yang sebelum ini terlibat dalam futsal dan kami lihat mereka mempunyai kemahiran dalam bola sepak pantai, jadi kami cuba terapkan persefahaman antara pemain baru dan pemain sedia ada,”

katanya.

Katanya, dalam sesi latihan sepanjang empat hari sebelum ini, beliau memfokuskan kepada persiapan dari segi taktikal dan set-piece.

Dalam pada itu, pemain negara, Qushairie Asaari turut mensasarkan untuk menjadi juara pada kejohanan itu dan mengakui teruja untuk beraksi di Thailand.

Beliau merasakan bahawa pemain lama dan baru telah membentuk persefahaman yang baik sejak mula berlatih bersama beberapa hari ini.

“Sebelum ini kita pernah jadi juara jadi kita cuba nak buat yang terbaik untuk edisi kali ini, bagi saya skuad ini memang boleh pergi dan saya sasarkan untuk menjadi juara.

Kalau ikutkan tempoh persiapan selama seminggu memang tak cukup tetapi kita dah melakukan persediaan ketika di pasukan Terengganu.”

Kejohanan tersebut akan berlangsung dari 26 September hingga 1 Oktober 2022 dengan tiga pasukan yang turut serta iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Tahun lalu, Malaysia yang diwakili pasukan Markless Komii muncul juara selepas menumpaskan Thailand yang juga tuan rumah pada perlawanan akhir.