Pemain yang terpilih banyak dari liga haram, FAM perlu wujudkan liga bola sepak pantai – Zaharim Yusof

252

Kapten skuad bola sepak pantai kebangsaan, Zaharim Yusof berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menganjurkan liga bola sepak pantai di negara ini bagi memperbanyakkan lagi bakat-bakat baru dalam sukan tersebut.

Menurutnya, sukar untuk mencari pemain pelapis bagi pasukan bola sepak pantai sekiranya tiada liga yang kompetitif seperti negara jiran, Thailand dan Indonesia.


“Kalau tengok dari segi kejohanan dalam negara, liga pun tiada. Pemain yang terpilih (untuk mewakili negara) pun banyak daripada liga haram.

Kita perlukan satu liga yang kompetitif seperti MPFL (Malaysia Premier Futsal League) kerana kita tahu Thailand dan Indonesia dah ada liga mereka sendiri,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau merasakan bahawa persiapan negara bagi Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF 2022 kali ini adalah antara yang terbaik dan percaya Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Thailand dan Indonesia.

Katanya, dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih, beliau percaya Malaysia mampu meraih kejuaraan pada kejohanan itu.

Sementara itu, penjaga gol negara, Tengku Azraf juga berpendapat bahawa Malaysia memerlukan satu liga yang kompetitif dengan segera bagi meningkatkan lagi tahap bola sepak pantai negara.

Menurutnya, ketika ini pemain kebanyakannya dipilih daripada satu pasukan sahaja iaitu Terengganu disebabkan kekurangan platform untuk mencungkil bakat.

Mengenai persediaan pasukan bagi kejohanan itu, beliau berpendapat bahawa keserasian pemain berada di tahap yang baik kerana sudah biasa bermain bersama.

“Sasaran kami kali ini adalah untuk pertahankan kejuaraan tahun lalu dan untuk edisi kali ini ada taktikal baru dari jurulatih.

Mungkin ada sedikit tekanan kerana mungkin pihak lawan dah baca permainan kami tetapi kita sebagai pemain akan ikut apa yang dirancang.”

Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF 2022 dianjurkan di Chonburi, Thailand yang disertai tiga pasukan iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.