Tindakan MUSA bukan jalan terbaik, khuatir ‘pisang berbuah dua kali’

238

Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) memberi gambaran bahawa mereka akan mengambil alih pengurusan pasukan Melaka United FC bermula musim hadapan.

Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Presiden persatuan tersebut, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad pada Kongres Luar Biasa MUSA baru-baru ini.


Tindakan ini dilihat sebagai sebuah langkah positif dalam usaha menstabilkan semula keadaan pasukan tersebut yang kini dilanda pelbagai masalah dalaman yang semakin teruk.

Dari sudut yang lain, perkara ini tetap dilihat kurang bersesuaian tatkala persatuan bola sepak negeri sepatutnya tidak mencampuri urusan kelab terutama sekali selepas penswastaan berlaku.

Dalam perancangan tersebut, pihak MUSA juga ada berkongsi tentang pecahan saham yang bakal disertakan di dalam perjanjian.

Berdasarkan perkongsian, MUSA akan memegang 40% daripada saham dan 60% selebihnya akan dipecahkan kepada beberapa syarikat swasta berbeza.

Ini akan mewujudkan risiko yang sangat besar kerana pemilik pasukan sepatutnya memiliki pecahan saham yang lebih besar berbanding pemegang taruh yang lain.

Hal ini sedikit sebanyak menggambarkan bahawa bahawa MUSA sebenarnya belum betul-betul bersedia untuk mengambil alih sepenuhnya pengurusan pasukan ini bagi mengeluarkan mereka daripada zon bahaya.

Penglibatan orang kenamaan dan ahli politik di luar daripada persatuan seperti Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah tidak diperlukan.

Menglibatkan unsur-unsur lain ke dalam pengurusan pasukan hanya akan membawa ke arah jalan buntu dan menjerumus kepada pelbagai konflik lain yang akan berbangkit di kemudian hari seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Lebih merisaukan, siapa yang akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh kelab tersebut sekiranya MUSA terus mengambil alih pengurusan pasukan daripada KenTeam Sdn Bhd.

Sepatutnya, perkara ini diselesaikan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang penyerahan pasukan kepada pengurusan yang baru.

Sekiranya peralihan ini benar-benar terjadi, MUSA perlu mencari solusi terbaik untuk menangani perkara ini bagi mengelakkan daripada peristiwa-peristiwa hitam yang pernah berlaku di dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berulang kembali.

Contoh terdekat adalah kes saman terbaru yang telah difailkan oleh pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang gagal melunaskan hutang berjumlah RM 3.93 juta sebelum ini.

Perkara-perkara seperti ini hanya akan merosakkan imej liga kita dan meninggalkan tanggapan buruk kepada pemain-pemain import yang pernah beraksi di Malaysia.

Ekoran daripada tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan Melaka United buat masa ini, dikhabarkan beberapa pemain import mereka seperti Justin Baas dan Emmanuel Oti telah mula mengangkat kaki meninggalkan pasukan.

Hanya seorang pemain import, Ifedayo Olesegun yang masih kekal bersama pasukan buat masa ini bagi menghabiskan baki saingan Liga Super.

Pemilik pasukan, Datuk Seri Justin Lim perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk membolehkan kesemua hutang dan gaji pemain dapat diselesaikan sebelum hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas beliau dan pasukan.

Berdasarkan isu yang berlaku ketika ini, barisan tertinggi MUSA telah sepakat untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan pasukan sekitar RM350,000 sehingga RM400,000 sahaja bermula musim hadapan.