Selangor FC lantik TCH dua minggu lepas pertemuan TMJ dan RMS, suratan atau kebetulan?

1,545

Selangor FC baru-baru ini secara rasminya melantik bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih selepas merehatkan Michael Feichtenbeiner daripada jawatan itu bulan lalu.

Pelantikan itu disambut baik oleh rata-rata penyokong Selangor kerana jurulatih yang berusia 54 tahun itu mempunyai reputasi yang tinggi dalam bola sepak tempatan, terutama ketika melatih Kedah Darul Aman FC pada 2014 hingga 2017.


Namun menurut pengurusan Selangor, pihaknya mahu memberi ruang kepada Cheng Hoe untuk membuat persisapan awal bagi musim depan.

Dua minggu sebelum pelantikan Cheng Hoe, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada melakukan perjumpaan dengan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

TMJ sebelum ini ada mendedahkan bahawa dalam perjumpaan itu, baginda ada berkongsi pendapat dan nasihat kepada RMS mengenai pengurusan kelab bola sepak.

Menurut TMJ lagi, RMS turut terbuka mendengar idea serta tunjuk ajar baginda untuk memperbaiki Selangor.

Mungkin juga ketika perjumpaan antara kedua-dua figura terkemuka dalam bola sepak tempatan itu, jawatan ketua jurulatih Selangor turut dibangkitkan.

Umum mengetahui ketika TMJ menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2017 hingga 2018, baginda adalah individu yang bertanggungjawab membawa Cheng Hoe menjadi ketua jurulatih negara.

Ini membuktikan baginda sendiri mengetahui kualiti yang dimiliki oleh Cheng Hoe yang boleh dianggap sebagai jurulatih tempatan terbaik ketika ini.

Tidak mustahil sekiranya nama Cheng Hoe turut ‘dipetik’ pada perjumpaan itu atau mungkin TMJ ada memberi nasihat baginda mengenai jawatan itu.

Menuju ke penghujung saingan liga, ramai yang menyangka bahawa ketua jurulatih interim, Nidzam Jamil akan terus dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pasukan sehingga ke perlawanan terakhir.

Walaupun Cheng Hoe sudah ‘berehat’ dalam tempoh yang agak lama dan hampir dua bulan Feichtenbeiner dilepaskan daripada jawatan ketua jurulatih, mungkin terdapat sebab tertentu baru sekarang Selangor mahu mendapatkan khidmat beliau.