Pemain naturalisasi terus jadi sasaran, bukti kegagalan program naturalisasi Harimau Malaya

1,637

Setiap kali skuad kebangsaan beraksi, isu pemain naturalisasi adalah antara perkara yang menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Baru-baru ini, salah seorang pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menjadi sasaran penyokong gara-gara persembahan hambarnya pada perlawanan akhir King’s Cup.


Justeru, seorang lagi pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi memuatnaik satu Instastory berhubung perkara itu.

“We are Malaysian when we win, an immigrant when we lose,” luahnya dipercayai merujuk kepada kecaman yang diterima oleh Sumareh.

Walaupun ketua jurulatih Taijikistan, Petar Segrt memuji aksi Sumareh pada perlawanan itu, penyokong tidak bersetuju dengan perkara itu, mungkin disebabkan beberapa tindakannya.

Daripada tiga pemain yang telah dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya Sumareh sahaja ketika ini yang masih mendapat peluang bermain.

Dan apabila mereka semua beraksi, boleh dikatakan semuanya gagal menambat hati penyokong dan sering menjadi sasaran kecaman.

Ini membuktikan bahawa program naturalisasi gagal dan tidak membantu memperkuatkan pasukan negara seperti yang diharapkan.

Perkara ini harus dijadikan satu ‘wake-up call’ buat FAM dalam membuat keputusan bagi pasukan kebangsaan pada masa depan.

Walaupun program tersebut kini telah ditangguhkan oleh FAM, ia adalah satu pengajaran yang amat berguna dalam membuat sesuatu dasar baru di kemudian hari.

Namun, ketiga-tiga pemain itu kini sudah pun bergelar pemain Malaysia dan ia tidak boleh diundur kembali, jadi sokongan harus terus diberikan apabila mereka mewakili negara.

Mungkin dengan sokongan yang diberikan, mereka mampu mengulangi semula prestasi hebat mereka apabila mula-mula dinaturalisasikan.