Syihan Hazmi akan terus beri fokus kepada Negeri Sembilan FC, ingin terus beri yang terbaik untuk negara

620

Penjaga gol negara, Syihan Hazmi tidak akan terleka dengan khabar angin perpindahannya dan bertekad untuk terus beri yang terbaik bersama pasukan Negeri Sembilan FC.

Syihan tidak mahu menjadikan perkara ini sebagai penghalang untuk beliau terus mempamerkan kecemerlangan beliau menjaga gawang pasukan.


“Buat masa ini, Syihan hanya fokus dengan pasukan Negeri Sembilan dan belum membuat sebarang keputusan.

Syihan tidak pasti tentang khabar angin yang berlaku dan akan serahkan sepenuhnya kepada ejen untuk uruskan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak ingin mendabik dada dengan pujian demi pujian yang diterima oleh beliau buat masa ini.

Selepas mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan di dalam saingan King’s Cup bersama skuad kebangsaan, Syihan dikatakan sudah bersedia untuk menggantikan tempat yang sebelum ini dipegang oleh penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Farizal Marlias.

Pemain berusia 26 tahun ini berjaya menepis beberapa asakan merbahaya di dalam kedua-dua perlawanan.

Aksi berkualiti dari Syihan ini merupakan antara penyumbang utama kepada kejayaan yang telah dicapai oleh skuad Harimau Malaya untuk muncul sebagai naib juara kejohanan.

“Syihan tidak boleh memberi sebarang komen kerana keputusan bukan di tangan saya, Syihan berharap doa-doa yang baik daripada semua.

Syihan hanya ingin memberikan aksi terbaik semampu boleh.”

Selepas ini, Syihan akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Oktober selepas dijadual bertemu pendahulu Liga Super, JDT.

Momentum penjaga gawang berasal dari Kelantan ini akan terus ditagih oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan bagi membolehkan mereka memperbaiki keputusan yang dicatat pada perlawanan terakhir bertemu lawan tersebut.

Pada perlawanan di pusingan pertama liga, JDT berjaya mengalahkan skuad Jang dengan kemenangan tipis 1-0.  

“Perlawanan dengan JDT Syihan akan beri 100% tetapi bola itu bulat dan apa-apa boleh terjadi.”

Ketangkasan Syihan diharap dapat membantu pasukan Negeri Sembilan untuk terus cemerlang mengekalkan kedudukan di dalam saingan liga bagi merebut slot layak ke Piala AFC musim depan.