Jurulatih hoki tempatan laku di luar negara

464

Sesetengah pihak akan mengkritik keputusan jurulatih tempatan untuk berkelana ke luar negara.

Ini kerana ia dianggap sebagai sesuatu yang merugikan.


Kepakaran negara ‘dicuri’ pasukan luar negara yang mungkin suatu hari nanti akan menjadi lawan pasukan kebangsaan.

Namun, perghijrahan jurulatih tempatan ini perlu dilihat dari sudut yang positif.

Mereka membimbing pasukan luar negara untuk membuktikan kehebatan masing-masing selain menambah ilmu dalam bidang yang berkaitan.

Selain itu, sudah pasti jurulatih ini mempunyai keistimewaan sehingga mendorong pasukan luar untuk menggunakan khidmat mereka.

Ini situasi yang dapat digambarkan apabila tiga bekas jurulatih skuad hoki negara dilamar pasukan negara luar.

Selepas Iman Gobinathan Abdullah dan Dharma Raj, kini giliran Lim Chiow Chuan pula berhijrah.

Sudah tentu ini satu berita yang boleh dianggap sebagai menggembirakan peminat-peminat sukan hoki negara.

Ini antara bukti bahawa kepakaran anak Malaysia dalam sukan hoki diiktiraf pasukan luar negara.

Chiow Chuan yang merupakan bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan hoki Oman dengan kontrak selama setahun.

Jurulatih kebangsaan yang berkelana ke luar negara berpeluang untuk memperkemaskan latihan serta memperkenalkan kaedah baru kepada pasuan baharu supaya mampu beraksi dengan lebih cemerlang.

Pendekatan untuk mencurahkan pengalaman ke luar negara adalah antara langkah bagi memberi pendedahan yang lebih baik dan membaiki prestasi mereka.

Diharap pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di luar negara dapat digunakan kepada pemain-pemain tempatan kelak.

Sebelum ini, Iman Gobinathan yang juga bekas penolong jurulatih skuad hoki negara menerima tawaran sebagai jurulatih pembangunan hoki Bangladesh.

Itu merupakan kali ketiga Gobinathan menerima tawaran Bangladesh selepas tahun 2015 dan 2018.

Dalam tempoh itu, bekas pemain pertahanan negara itu berjaya membantu Bangladesh layak ke Sukan Olimpik Remaja 2018, sekali gus pencapaian terbaik dalam sejarah negara terbabit.

Kejayaan itu meyakinkan Persekutuan Hoki Bangladesh untuk menawarkan satu lagi tugas penting kepada Gobinathan.

Dharma Raj pula dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan terutama sewaktu membimbing skuad wanita kebangsaan.

Malaysia menduduki tempat kelapan pada Piala Dunia Hoki Remaja di Bhubaneswar baru-baru ini.

Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan skuad remaja kebangsaan yang bimbingan Wallace Tan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen