Kiatisuk Senamuang antara nama yang disebut sebagai calon ke Darul Aman musim hadapan?

2,469

Peminat Kedah Darul Aman FC (KDA) kecoh di media sosial semalam apabila ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dilepaskan oleh pihak pengurusan dengan penolong ketua jurulatih, Victor Andrag akan menjadi ketua jurulatih interim (sementara) untuk kejohanan Piala Malaysia.

Susulan itu, ramai yang menjangkakan KDA akan melakukan sekali lagi rombakan besar-besaran pada musim depan bagi memastikan skuad Sang Kenari kembali kepada prestasi sebenar.


KDA sudah pun mula membuat kerja awal apabila dikatakan sudah ‘memborong’ sebanyak 13 pemain graduan daripada Akademi Mohktar Dahari (AMD) baru-baru ini.

Tidak dapat dinafikan, peminat mahu pihak pengurusan membawa masuk pemain-pemain berkualiti pada musim hadapan supaya apa yang berlaku pada musim ini tidak berulang lagi, namun persoalan paling menjadi perhatian adalah siapakah ketua jurulatih baru KDA.

Sebelum Aidil Sharin dilepaskan, nama ketua jurulatih Terengganu FC iaitu Nafuzi Zain dikaitkan bakal ke Darul Aman pada musim hadapan susulan kontraknya bersama skuad Sang Penyu tamat pada musim ini.

Bagaimanapun tuan empunya badan tidak memberi sebarang komen berhubung spekulasi itu sebaliknya berkata fokusnya ketika itu adalah mahu membawa Terengganu layak ke Piala AFC dan ia berjaya direalisasikan.

Berikutan kejayaan Nafuzi membawa Terengganu menjadi naib johan Liga Super, pengurusan Terengganu dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah bagi membincang masa depan pasukan itu pada 25 Oktober ini.

Ketika peminat Hijau Kuning teruja dengan spekulasi Nafuzi akan ke KDA, kini timbul pula spekulasi mengenai pasukan Jelapang Padi itu mungkin akan membawa masuk ketua jurulatih dari luar negara yang merupakan ketua jurulatih dari Vietnam atau dari negara lain yang masih belum diputuskan.

Peminat tidak menunggu lama apabila membuat carian dan kini nama pengendali kelab juara V. League 1, Hoang Anh Gia Lai iaitu Kiatisuk Senamuang menjadi sebutan.

Senamuang merupakan bekas penyerang hebat pasukan Thailand pada era awal 90an hingga hujung 2006 dengan menyaksikan beliau pernah berjaya meraih pelbagai kejuaraan bersama skuad kebangsaan dan juga kelab yang diwakilinya.

Selain kejayaan ketika beraksi, Senamuang juga merupakan antara pengendali dengan reputasi yang hebat apabila pernah membawa skuad Gajah Perang menjuarai Piala AFF sebanyak dua kali, juara King’s Cup Thailand serta bantu skuad B-23 raih pingat emas di Sukan SEA.

Jika dilihat dari portfolio beliau, sudah pasti beliau boleh menjadi antara calon terbaik untuk mengemudi KDA pada musim hadapan yang mana beliau tidak akan mempunyai masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia yang tidak jauh beza dengan liga lain di rantau Asia Tenggara.

Tambahan pula, kontraknya bersama Hoang Anh Gia Lai juga akan tamat pada November 2022, jadi namanya mungkin boleh dipertimbangkan.

Benar atau tidak, peminat perlu tunggu dan lihat perancangan pengurusan KDA untuk musim hadapan dan ramai yang berharap dengan kehadiran pemilik baru iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar akan membawa nafas baru dalam bola sepak Kedah.