Haji Mohd Fadhil Wahab anggap pilihan raya tidak akan pecah-belahkan sokongan peminat

263

Pengurus pasukan Terengganu FC, Haji Mohd Fadhil Wahab yakin bahawa tiada sebarang perubahan atau kesan yang akan berlaku meskipun tarikh pilihan raya semakin dekat.

Beliau yang juga merupakan ahli politik percaya tiada apa termasuk perbezaan politik yang akan dapat melunturkan semangat dan sorakan penyokong untuk terus memeriahkan stadium.


“Bola sepak untuk semua, tidak kira ada pilihan raya atau tidak kita tetap akan bersama.

Bukan sebab pilihan raya kita berbalah sesama sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Fadhil juga terus berharap agar dua individu penting buat pasukan, Nafuzi Zain serta Faisal Halim dapat terus dikekalkan untuk jangka masa yang lebih panjang.

Ini kerana, kedua-dua mereka telah berjaya membantu menghadiahkan kejayaan demi kejayaan kepada pasukan termasuk mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga kedua.

“Saya dengan harapan dua individu ini adalah tonggak utama pasukan.

Pihak pengurusan TFC sudah lakukan yang terbaik, itu terserah kepada mereka sendiri sama ada mereka akan bersetuju atau sebaliknya, kita bersifat lebih terbuka kepada semua.”

Terengganu berjaya meneruskan momentum kecemerlangan mereka selepas mudah menewaskan pasukan Sri Pahang pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia dengan perbezaan jaringan yang cukup besar, 5-1.

Kejayaan ini akan menjadi bekalan selesa buat para pemain dan barisan kejurulatihan menjelang aksi kedua yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 November ini.

“Kita berjaya malam ini di perlawanan pembukaan Piala Malaysia, tahniah saya ucapkan kepada semua pengurusan pasukan dan pemain.

Untuk saya sebenarnya kemenangan 1-0 sudah mencukupi bagi kita, kemenangan besar ini adalah suatu pencapain terbaik sebelum perlawanan di Kuala Terengganu nanti.”

Kesemua mereka perlu terus mengekalkan pretasi terbaik ini bagi membolehkan impian melangkah lebih jauh di saingan Piala Malaysia tahun ini dapat dicapai.

Kejayaan di Piala Malaysia akan menjadi penutup terbaik buat pasukan Terengganu yang dilihat cemerlang bagi saingan musim ini.

“Saya mengharapkan jurulatih dan semua pemain dapat mengekalkan momentum sedia ada, pastikan semua pemain bersiap sedia berhadapan Sri Pahang pada perlawanan kedua di tempat sendiri.”