Pemain hoki wanita berlatih sendiri

232

Ketua jurulatih skuad hoki projek khas wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yakin dengan tahap kecergasan anak-anak buahnya untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2022 di Bangkok, Thailand bulan depan.

Nasihin menyuarakan keyakinan itu meskipun skuad negara dibarisi enam pemain berusia lebih 21 tahun. Dua daripada mereka berusia lebih 30 tahun.


Tambahan pula, ketika ini mereka terpaksa menjalani latihan secara sendiri selepas dua pemain disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

“Saya berasa sedikit kecewa. Selepas terlepas peluang untuk beraksi di Korea Selatan, pemain-pemain saya pula terpaksa dikuarantin.

“Kini mereka sedang menjalani latihan secara sendiri sehingga tempoh kuarantin tamat.

“Kami perlu segera turun berlatih secara berpasukan kerana kami ada misi penting untuk dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada Harimau Malaya.

Nasihin berkata, selepas tidak dapat beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021, skuad projek khas wanita negara terpaksa mengalihkan fokus bagi melakukan persiapan menghadapi saingan Piala Asia 2022.

Kejohanan di Bangkok cukup penting bagi merealisasikan sasaran mereka untuk layak ke Sukan Asia 2026.

Tambahnya, penyertaan pasukan pada siri kejohanan di luar negara juga penting bagi mendedahkan mereka kepada corak permainan berintensiti tinggi selain turut bersedia menghadapi lawan bertaraf gergasi.

“Sudah pasti saya berasa sedih apabila kami tidak dapat menyertai ACT 2021 selepas melakukan persediaan yang rapi.

“Namun, saya akur kepada keputusan penganjur. Kami perlu memandang ke depan dan meneruskan persiapan untuk menghadapi kejohanan di Bangkok.

“Setiap kejohanan sangat penting kerana kami perlu menyiapkan pasukan yang mantap supaya dapat mencipta keputusan positif kelak,” katanya.

Skuad hoki projek khas wanita negara terpaksa menjalani tempoh kuarantin yang panjang di Donghae, Korea Selatan.

Skuad negara mula menjalani kuarantin sejak 1 Disember lalu selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 sebaik pasukan itu tiba di Donghae pada 29 November.

Dua lagi pemain negara iaitu Fatin Shafika Mohd Sukri dan Nur Atira Mohamad Ismail turut disahkan positif Covid-19, sekali gus perlu menjalani kuarantin di negara tersebut.