Alex Yoong akui ‘racism’ sudah jadi lumrah dalam sukan, setuju dengan tindakan Lewis Hamilton

1,343

Bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong turut mengakui bahawa masalah perkauman sudah menjadi kebiasaan di dalam kesemua sukan termasuk bidang permotoran.

Beliau akui setuju dengan tindakan yang dilakukan oleh pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton yang secara terbuka membuat laporan terhadap serangan perkauman yang diterima olehnya.


Ini kerana beliau juga pernah melalui perasaan terasing sewaktu menjadi satu-satunya pelumba dari Asia yang beraksi di perlumbaan F1.

“Saya rasa apa yang Lewis buat untuk naikkan kesedaran orang ramai terhadap kepelbagaian etnik adalah perkara yang sangat baik.

Hadir sebagai pelumba dari Malaysia dan luar dari Eropah semestinya kita akan terima kritikan yang banyak kerana mereka menganggap kita tidak tahu apa apa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga sedikit lega kerana tidak berada di zaman kecanggihan teknologi dan penggunaan media sosial yang tinggi.

Ini kerana ia akan menambahkan lagi tekanan yang akan diterima oleh beliau dan rakan-rakan yang lain seperti mana yang diterima oleh pelumba pada ketika ini.

Dengan adanya media sosial, peminat lebih mudah memberikan komen dan kritikan mereka secara meluas tanpa sebarang tapisan.

“Saya rasa bertuah kerana zaman saya media sosial masih kurang, ketika saya berlumba media sewaktu itu juga sudah kejam.

Jika ada media sosial mungkin ia akan menjadi lebih teruk.”

Beliau juga melihat sudah banyak perubahan yang berlaku terhadap sukan F1 sejak kali terakhir beraksi di perlumbaan berprestij tersebut.

Kecanggihan teknologi pada ketika ini terutama sekali penciptaan simulator perlumbaan turut berjaya membantu setiap pelumba untuk terus memperbaiki teknik kawalan mereka di atas litar.

“Sebenarnya F1 telah lama berubah sejak zaman saya lagi, kereta sudah berubah dan pemandu sudah semakin baik terutama sekali generasi baru

Ini kerana mereka banyak melakukan simulator pemanduan, bila mereka banyak menghabiskan masa di situ, mereka menjadi jauh lebih baik dari generasi saya.”

Dalam pada itu, beliau yang ditemui pada majlis pengumuman kerjasama di antara Royal Selangor dan Axle Sports bagi menganjurkan eRacing Grand Prix turut percaya akan ada lebih banyak pelumba berkualiti dapat dilahirkan oleh negara di masa depan.

Sokongan demi sokongan yang diberikan akan menjadi pembakar semangat kepada pelumba-pelumba muda ketika ini untuk terus mempamerkan aksi terbaik pada setiap perlumbaan yang disertai selepas ini.

“Semestinya akan ada lebih ramai, kita dapat lihat mereka yang berada di sini.

Tidak semua akan berada di atas tapi komuniti akan saling menyokong satu sama lain.”