Khuzaimi Piee harap dapat sarung jersi Harimau Malaya di Piala AFF, enggan komen khabar angin ke Selangor FC musim depan

777

Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee meluahkan hasratnya untuk kembali sarung jersi Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember ini.

Khuzaimi atau lebih mesra dengan panggilan Jimmy berkata, mana-mana pemain pun pasti mempunyai impian untuk bermain untuk negara sendiri.


“Saya rasa mana-mana pemain yang bermain di Liga Super dan liga di Malaysia ni semua ingin tersenarai dalam pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan Piala AFF ini.

Jika saya terus diberi kepercayaan oleh coach Kim, saya akan cuba bagi yang terbaik dan sebaik mungkin untuk edisi kali ini sebab kita tahu peminat-peminat menunggu sesuatu yang baru dari coach Kim dan saya harap pemain-pemain yang dipanggil dapat beri sesuatu kelainan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis pelancaran jersi pasukan kebangsaan Malaysian bagi musim 2022 hingga 2024 yang mana beliau bersama dua lagi pemain kebangsaan iaitu V. Ruventhiran dan Syihan Hazmi diberi tanggungjawab untuk memperkenalkan jersi terbaru skuad negara pagi tadi.

Dalam pada itu, Jimmy kini sedang hangat diperkatakan bakal berhijrah ke Selangor FC pada musim depan selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang bersama Negeri Sembilan dan juga bersama pasukan kebangsaan musim ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin tersebut kerana beliau mahu meluangkan masa dengan keluarganya buat masa ini.

“Buat masa ini saya tak nak fikir apa-apa kerana mahu luangkan masa dengan keluarga dahulu. Tahun ini jadual agak padat dan masa dengan keluarga itu kurang juga sebab kita banyak kejohanan seperti kelayakan Piala Asia 2023, kejohanan King’s Cup Thailand dan perlawanan persahabatan semua.

Sekarang ini fokus saya dengan keluarga. Tunggu jela tahun depan.”

Sementara itu, beliau juga sempat memberi komen mengenai perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan pasukan Selangor dan Terengganu FC yang berkesudahan dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menang 3-1.

Jimmy mengakui kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang cukup baik semalam dan walaupun Terengganu tewas namun peluang masih terbuka buat mereka untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada perlawanan separuh kedua yang akan berlangsung di Gong Badak, Terengganu pada 21 November ini.