Syihan Hazmi bersemangat mahu sarung jersi Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AFF

322

Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi mengakui bersemangat mahu kembali menyarung jersi Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala AFF 2020 yang akan berlangsung pada bulan Disember ini.

Syihan bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut kerana ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon masih lagi belum mengeluarkan senarai pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan berpusat.


“Rezeki ni kita tak tahu kadang-kadang kita tahu kita akan cedera atau tidak, tambahan pula semua keputusan terletak di tangan ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Memang saya bersemangat untuk negara. Semua pemain yang bermain di Liga Super turut mempunyai perasaan sama seperti saya,”

katanya.

Terdahulu, Syihan bersama dua lagi pemain kebangsaan iaitu V. Ruventhiran dan Khuzaimi Piee hadir dalam majlis pelancaran jersi Harimau Malaya untuk musim 2022 hingga 2024.

Dalam pada itu, pengendali skuad negara Pan-gon dijangka akan mengeluarkan senarai pemain dalam selepas tamat kejohanan Piala Malaysia pada hujung bulan ini.

Skuad negara akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan menentang Maldives pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kedua-dua perlawanan persahabatan ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF 2022 yang akan berlangsung dari 21 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.

Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar pada 21 Disember di tempat lawan; menentang Laos di SNBJ pada 24 Disember; menentang Vietnam pada 27 Disember sebelum menutup saingan kumpulan pada 3 Januari menentang Singapura di tempat sendiri.