Bekas ‘teammate’ Safawi dan Nazmi Faiz gegar dua juara dunia, mungkin giliran Malaysia selepas ini?

918

Seperti yang semua sedia maklum, dua gergasi bola sepak Asia, Jepun dan Arab Saudi telah berjaya melakukan kejutan di perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia tahun ini.

Masing-masing berjaya menundukkan pasukan lawan, Jerman dan Argentina dengan keputusan 2-1 meskipun ketinggalan pada awal perlawanan.


Yang menarik perhatian adalah penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda yang cemerlang menepis percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh pasukan Jerman merupakan bekas rakan sepasukan buat kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid ketika di Portimonense sebelum ini.

Gonda yang mula menyertai kelab tersebut pada tahun 2019 turut berada bersama Portimonense pada tahun 2020 sewaktu Safawi dibawa ke Portugal menerusi pinjaman selama beberapa bulan.

Pada awal tahun ini, Gonda telah kembali berhijrah ke Jepun untuk bersama Shimizu S-Pulse dan telah turun beraksi sebanyak 39 kali dan merekodkan tujuh ‘clean sheets.’

Edisi Piala Dunia tahun ini merupakan penyertaan kali pertama buat pemain berusia 33 tahun tersebut dan beliau berjaya membuktikan kredibilitinya mengawal kemas gawang Samurai Blue.

Selain Jepun, Arab Saudi juga berjaya melakukan kejutan luar biasa setelah mereka menewaskan naib juara Piala Dunia 2014, Argentina pada perlawanan pembukaan Kumpulan C yang telah berlangsung pada 22 November.

Tanpa disedari, penjaring gol penyamaan pasukan Arab Saudi, Saleh Al Shehri merupakan bekas rakan sepasukan buat seorang lagi pemain negara, Nazmi Faiz sewaktu sama-sama beraksi di kelab Portugal, SC Beira-Mar sekitar tahun 2012.

Terdahulu, Nazmi turut berpeluang ke Portugal sebelum ini setelah beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang ketika bersama pasukan Harimau Muda A termasuk satu gol menakjubkan yang berjaya dihasilkannya sewaktu pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Bahrain.

Selepas meninggalkan Beira-Mar pada tahun 2013, Saleh kembali ke Arab Saudi untuk bersama beberapa kelah seperti Al-Ahli dan Al-Raed.

Beliau mula menyertai juara bertahan Liga Pro Saudi, Al-Hilal pada tahun 2019 dan telah beraksi sebanyak 85 kali serta mencatatkan 15 gol.

Aksi beliau bersama kelab tersebut menarik minat ketua jurulatih Arab Saudi, Herve Renard untuk memanggil beliau untuk kaps pertamanya pada November 2020 untuk perlawanan persahabatan menentang Jamaica.

Selepas 19 aksi bersama skuad kebangsaan, pemain berusia 29 tahun tersebut telah berjaya mencatatkan sembilan jaringan serta satu ‘assist’ termasuk jaringan penting di babak kedua sewaktu bertemu Argentina baru-baru ini.

Diharap pencapaian yang berjaya diraih oleh kedua-dua pemain ini di Piala Dunia akan menjadi pembakar semangat buat Safawi dan Nazmi untuk terus membuktikan kemampuan mereka bukan sahaja bersama kelab malah sewaktu mewakili pasukan negara.

Berdasarkan prestasi semasa, Safawi dan Nazmi dipercayai bakal menjadi antara sandaran utama ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sewaktu bersaing di Piala Asia Qatar kelak.

Safawi dan Nazmi antara nama yang telah dipanggil oleh Pan-gon untuk menyertai kem latihan negara bagi melakukan persiapan ke perlawanan persahabatan serta Piala AFF tahun ini.

Namun atas kekangan peribadi dan masalah keluarga serta kecederaan, Nazmi terpaksa menolak panggilan tersebut dan bakal terlepas aksi di Piala AFF bulan depan.