BAM terlepas dapatkan khidmat Eei Hui, lebarkan karier kejurulatihan ke New Zealand

289

Bekas pemain badminton beregu wanita negara, Chin Eei Hui dijangka tidak akan kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku jurulatih dalam tempoh yang terdekat.

Ini kerana beliau difahamkan telah menerima tawaran jurulatih di sebuah kelab badminton New Zealand, North Harbour pada Februari tahun hadapan.


North Harbour merupakan sebuah kelab akademi badminton terkenal di New Zealand yang berpengkalan di Auckland.

Selain daripada melatih pemain-pemain utama, kelab ini juga memiliki kumpulan pemain muda yang terdiri daripada umur 13 sehingga 19 tahun.

Mereka juga telah menjadi tuan rumah kepada kejohanan Antarabangsa Victor North Harbour 2022 yang berlangsung pada 20 hingga 23 Oktober yang lalu.

Pengalaman seperti ini dilihat mampu menjadi pentas terbaik buat Eei Hui untuk terus mengutip pengalaman demi pengalaman bagi meningkatkan lagi kebolehan beliau sebagai seorang jurulatih.

Pada masa yang sama, situasi ini sekaligus mengesahkan bahawa Eei Hui tidak berada di dalam senarai BAM bagi rombakan yang akan berlaku pada penghujung tahun ini.

Terdahulu, Eei Hui merupakan antara nama yang dicanang-canang yang bakal dibawa masuk oleh pihak pengurusan BAM bagi memperkuatkan bahagian kejurulatihan.

Selain daripada beliau, antara nama lain yang turut disebut adalah seorang lagi bekas pemain, Lim Pek Siah serta legenda badminton Indonesia dan Amerika Syarikat, Tony Gunawan.

Situasi ini dilihat sebagai satu kerugian buat BAM yang ketika ini berhadapan dengan masalah dalam mendapatkan seorang jurulatih yang berkualiti selepas kehilangan khidmat Paulus Firman yang sebelum ini melatih beregu campuran negara.  

Tambahan pula, Eei Hui sebelum ini pernah menyertai barisan kejurulatihan BAM selama beberapa tahun sebelum membuat keputuan untuk meninggalkan persatuan tersebut pada tahun 2019.

Ketika ini, beliau sedang bertungkus-lumus melakukan persiapan akhir bersama beberapa pasangan beregu profesional seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Ketiga-tiga pasangan ini berjaya menempah slot ke Kejohanan Akhir Dunia BWF yang bakal berlangsung di Bangkok bermula 7 sehingga 11 Disember ini.

Beliau perlu memastikan pasangan di bawahnya ini dapat mencapai sesuatu di kejohanan tersebut bagi memperoleh hadiah perpisahan terbaik sebelum melepaskan tanggungjawab kepada Rosman Razak yang baru sahaja melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih badminton Filipina.

Selain daripada tiga beregu ini, ada tiga lagi wakil yang akan mewakili negara termasuk pasangan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta juara Terbuka Perancis 2022, Pearly Tan-M. Thinaah.