Syihan Hazmi letak diri di luar zon selesa, mahu beri sepenuh fokus kepada Piala AFF terlebih dahulu

300

Penjaga gawang negara, Syihan Hazmi tidak ingin berasa terlalu selesa meskipun dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi pilihan utama pada saingan Piala AFF tahun ini.

Beliau percaya bahawa ada banyak yang masih perlu diperbaiki olehnya untuk terus mengembangkan karier selepas ini.


“Syihan letak diri di luar zon selesa untuk sentiasa perbaiki diri Syihan untuk pergi lebih jauh lagi dan kekalkan fokus.

Kalau terlalu selesa, kita akan hilang fokus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Buat masa ini, beliau tidak ingin membincangkan tentang hala tujunya selepas sah meninggalkan pasukan Negeri Sembilan FC selepas tamat saingan Liga Malaysia musim ini.

Setakat ini, Syihan yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang telah dikaitkan dengan beberapa kelab besar termasuk juara Liga Super sembila kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim FC.

“Syihan tidak boleh beritahu cuma tunggu keputusan yang akan dikeluarkan.

Syihan sekarang hanya fokus kepada pasukan kebangsaan dan AFF ini.”

Beliau pada ketika ini sedang giat menjalani latihan bersama skuad negara bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember dan Maldives pada 14 Disember ini.

Syihan menyerahkan sepenuhnya kepada pemilihan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan percaya sebarang pemilihan yang dilakukan adalah terbaik.

Beliau juga bertekad untuk terus memberikan aksi terbaik bagi membuktikan kredibilitinya selaku antara penjaga gol utama negara bagi menggantikan tempat penjaga gawang berpengalaman, Farizal Marlias.

“Syihan tidak boleh beritahu kerana itu atas keputusan daripada jurulatih.

Bagi pihak individu, Syihan akan bagi yang lebih baik daripada yang sebelum ini dan kekalkan apa yang sedia ada serta tambah baik yang diperlukan.”

Penjaga gol berusia 26 tahun tersebut perlu terus bersaing untuk merebut tempat di dalam senarai akhir yang bakal dikeluarkan selepas dua perlawanan persahabatan kelak.

Sekiranya dipilih, ini akan menjadi pentas Piala AFF pertama buat Syihan sepanjang kariernya sebagai seorang penjaga gawang.

Harapan besar semestinya diletakkan oleh para peminat untuk melihat pemain yang bakal dipilih dapat menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik bagi membawa pasukan negara melangkah dengan lebih jauh pada penyertaan kali ini.

Kali terakhir kita bergelar juara adalah sewaktu berada di bawah bimbingan Datuk K. Rajagopal pada tahun 2010 yang lalu.