Dion Cools digugurkan atas urusan peribadi, Haqimi Azim lengkapkan senarai 23 pemain Harimau Malaya ke Piala AFF

6,939

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon baru sahaja mengeluarkan senarai akhir pemain yang bakal dibawa ke Piala AFF tahun ini.

Apa yang menarik perhatian adalah ketiadaan nama pertahanan kental, Dion Cools yang terpaksa digugurkan atas urusan peribadi.


Terdahulu, pemain kacukan berusia 26 tahun tersebut difahamkan akan menyertai pasukan sedikit lewat tatkala masih memiliki tugas bersama kelabnya, FK Jablonec.

Namun, segalanya tampak berubah setelah pengumuman rasmi ini dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).  

Perkara ini sedikit menggusarkan tatkala ketiadaan Cools akan menyebabkan kehilangan besar di bahagian pertahanan negara.

Tambahan pula, kali ini kebanyakan pemain pertahanan yang dibawa terdiri daripada tenaga muda seperti Sharul Nazeem dan Quentin Cheng yang memerlukan tunjuk ajar dari pemain berpengalaman seperti Cools.

Pada masa yang sama, Pan-gon telah menyenaraikan penyerang muda, Haqimi Azim yang beraksi bersama KL City musim ini.

Sedikit mengejutkan tatkala Haqimi tidak langsung beraksi pada dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives.

Beliau diletakkan di bangku simpanan sewaktu perlawanan pemanas badan terakhir menentang Maldives namun tidak diturunkan seoanjang 90 minit perlawanan.

Sepanjang 11 perlawanan Liga Super bersama kelab musim ini, Haqimi berjaya menjaringkan satu gol ketika beraksi menentang pasukan Sri Pahang pada September lalu.

Mungkin pemain berusia 19 tahun ini akan diletakkan sebagai sandaran kepada penyerang senior yang lain seperti Darren Lok dan Sergio Aguero.

Beliau merupakan salah seorang pemain yang telah membantu pasukan B-19 negara menjuarai kejohanan Piala AFF B-19 pada Julai lalu.

Ini dilihat sebagai pertaruhan yang besar memandangkan beliau masih muda namun ia akan menjadi pentas terbaik untuk Haqimi menunjukkan kemampuannya serta mendapatkan pengalaman beraksi di pentas tertinggi Asia Tenggara.

Antara muka baru lain yang turut berjaya meraih perhatian adalah pemain Sarawak United, Shamie Iszuan serta pemain tengah muda dari Selangor FC, Aliff Haiqal.

Selain Cools, antara nama lain yang digugurkan adalah Azri Ghani, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman dan Aliff Izwan Yuslan.

Peminat semestinya tidak sabar untuk melihat sejauh mana skuad kali ini mampu mara dengan lebih jauh di bawah kendalian Pan-gon.

Terutama sekali untuk melihat prestasi pengendali berasal dari Korea Selatan tersebut tatkala pertama kali dijadual bertemu Vietnam serta untuk menebus semula kehampaan tewas di tangan Singapura sebelum ini di kejohanan FAS-Tri Nations Series.