JFA bayar ‘yuran pembangunan’ kepada pasukan yang lahirkan pemain Piala Dunia, satu contoh yang wajar diterapkan di negara ini

396

Prestasi Jepun itu juga bakal memberi manfaat kepada pasukan-pasukan yang membangunkan pemain-pemain ketika muda.

Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dilaporkan akan membayar ‘yuran pembangunan’ kepada sekolah serta kelab yang membangunkan pemain-pemain negara itu yang beraksi di Piala Dunia.


Mereka memperuntukkan RM2.4 juta dengan pembayaran sebanyak 300,000 Yen (RM9,620) untuk seorang pemain sebagai penghargaan kepada kelab serta sekolah berkenaan.

Inisiatif seperti ini wajar dipuji kerana akan menaikkan lagi semangat pasukan untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

Selain itu, ia dapat membantu pasukan berkenaan dalam meningkatkan lagi tahap fasiliti menggunakan wang yang diterima.

Ia juga patut dicontohi oleh Malaysia bukan saja dalam bola sepak tetapi sukan-sukan lain juga dalam meningkatkan lagi tahap pembangunan.

Pada 2019, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu, Stuart Ramalingam pernah berkata bahawa pasukan yang berminat untuk mendapatkan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) boleh dikenakan bayaran tertentu.

Ia adalah salah satu peraturan atau undang-undang yang wujud dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sejauh mana perlaksanaan tersebut tidak diketahui, namun bayaran seperti itu adalah wajar berdasarkan kos yang dikeluarkan untuk ‘membina’ seseorang pemain.

Graduan AMD juga dilihat sangat laku dalam kalangan kelab-kelab tempatan, setiap musim ada saja kelab yang ‘memborong’ pemain-pemain dari akademi itu untuk diserapkan ke dalam pasukan mereka.

Contoh yang lain adalah melibatkan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang lahir daripada SMK Gunung Rapat.

Persatuan sukan yang berkenaan boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh JFA sebagai penghargaan membangunkan beliau.

Sekiranya budaya ini diperluaskan, pembangunan sukan di negara ini akan lebih berkembang dan akademi, sekolah serta kelab akan berlumba-lumba untuk melahirkan atlet berbakat.

Ia akan memperbanyakkan lagi ‘ubi-ubi’ muda yang mampu mengharumkan nama negara satu hari nanti.