Ramai pemain utama tiada, Nor Hakim Hassan anggap skuad kali ini sama kuat dengan sebelum ini

1,159

Pemain kebangsaan, Mohammad Nor Hakim Hassan merasakan skuad untuk ke Piala AFF 2022 sama kuat dengan skuad-skuad sebelum ini walaupun tanpa ramai pemain utama.

Menurutnya, semua pemain yang mengikuti kem latihan untuk ke Piala AFF sejak 29 November lalu merupakan pemain yang bagus, sama ada terpilih atau tidak dalam senarai 23 pemain akhir.


“Saya lihat kualiti yang ada dalam skuad sebelum ini dan sekarang sama saja, pemain-pemain yang ada semua bagus.

Saya juga percaya sesiapa saja yang diberi peluang bermain akan berusaha sehabis baik untuk negara,”

katanya.

Beliau berbangga diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk dibawa ke Piala AFF kali ini.

Nor Hakim mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan persembahannya dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives tempoh hari dan bertekad untuk memperbaiki kelemahan.

“Masih ada kekurangan lagi dalam permainan saya dan saya akan cuba perbaikinya menjelang kejohanan itu.

Di posisi saya ada Ruventhiran yang juga pemain yang bagus, jadi sesiapa saja yang dipilih oleh jurulatih tidak kisah kerana semua akan berikan yang terbaik.”

Beliau tidak kisah jika dimasukkan dari bangku simpanan asalkan dapat memberi sumbangan kepada pasukan.

Nor Hakim bertekad mahu memberikan segala-galanya dalam Piala AFF pertamanya ini untuk membalas kepercayaan jurulatih.