Rancak buat persiapan, Harini FT jadi pilihan untuk julang Liga M3 musim 2023

913

Biarpun tidak banyak perkembangan terbaru yang dikongsi oleh pasukan-pasukan di Liga M3 berhubung persiapan mereka untuk menghadapi saingan musim 2023 termasuk juara Liga M3 musim ini iaitu PIB FC, namun Harini FT pula kini menjadi perhatian ramai.

Manakan tidak, Harini FT kini sedang rancak mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Liga M3 2023 dengan begitu rapi sekali apabila dikatakan sudah melantik bekas ketua jurulatih PJ City FC iaitu P. Maniam sebagai pengendali baru pasukan itu.


Dikhabarkan P. Maniam juga akan membawa seramai 10 pemainnya dari PJ City untuk bersama Harini FT pada musim hadapan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) untuk memperkuatkan pasukan pada musim hadapan.

Melihat kepada persiapan rapi yang dilakukan Harini FT ketika ini, tidak mustahil mereka mampu menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai Liga M3 pada musim hadapan berdasarkan kualiti jurulatih dan pemain yang dibawa masuk.

Format saingan Liga M3 pada musim hadapan akan diubah kepada format sama seperti Liga Super dengan jumlah pasukan yang bersaing adalah 14 pasukan.

14 pasukan yang layak beraksi untuk saingan Liga M3 musim depan adalah terdiri daripada tujuh pasukan terbaik dari Kumpulan A dan Kumpulan B Liga M3 2022.

Terdahulu, perjalanan Harini FT dalam kempen Liga M3 pada musim ini berakhir di peringkat suku akhir apabila mereka tewas di tangan Imigresen FC 3-2 secara agregat.

Mereka merupakan juara Kumpulan B selepas mengutip 35 mata hasil 10 kemenangan, lima seri dan tiga kekalahan.

Harini FT juga merupakan antara salah satu kelab yang mempunyai kewangan yang kukuh dan bebas dari sebarang isu termasuk tunggakan gaji pemain.

Malah mereka juga pasukan kedua iaitu Harini FT II yang akan turut beraksi dalam Liga M4 pada musim depan selepas berjaya menjadi juara Nogori M5 League 2 2022 baru-baru ini.