Inisiatif bagus dari Negeri Sembilan FC naik taraf stadium tetapi sasaran seterusnya perlu ada stadium sendiri

2,309

Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi akan berwajah baru apabila kerja naik taraf stadium itu akan dilaksanakan pada bulan Mac untuk memenuhi piawaan sebagai venue kejohanan bola sepak antarabangsa.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani di mana kos menaik taraf stadium itu bakal menelan RM1.2 juta dan ianya merupakan satu pelaburan yang berbaloi terutama untuk pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC)


Kerja menaik taraf stadium itu bakal melibatkan tempat duduk penonton di mana tempat duduk lama akan digantikan dengan tempat duduk baru yang bernombor.

Tindakan itu bakal memberi keselesaan kepada para penonton yang bakal menghadiri perlawanan melibatkan NSFC kerana mereka mempunyai tempat duduk yang selesa

Selain itu, rumput stadium juga akan ditukar kepada jenis Zeon Zoysia sama seperti rumput di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor (SSI).

Para pemain juga dapat memberikan aksi yang terbaik kerana mereka mempunyai permukaan padang yang berkualiti.

Kemeriahan bola sepak kelab itu juga bakal bertambah kerana jumlah penonton pasti akan bertambah selepas kerja naik taraf itu dilakukan.

Meskipun kerja naik taraf itu merupakan pelaburan yang baik untuk skuad Hobin Jang Hobin, namun ianya tidak cukup bagus untuk pelaburan serta perancangan jangka panjang.

Hal ini kerana mereka harus mempunyai perancangan untuk mempunyai stadium sendiri kerana ianya dapat membantu pembangunan bola sepak di negeri itu.

Bukan itu sahaja, dengan adanya stadium sendiri ianya akan membawa kelab ke satu peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, ianya turut menguntungkan pasukan kerana mereka tidak perlu membayar kadar sewa stadium dan duit sewa itu boleh dilaburkan untuk pembangunan bola sepak.

Kelab juga dapat menaik taraf stadium dengan sendirinya tanpa perlu mendapat kelulusan daripada mana-mana pihak.

Pemain juga mampu beraksi dengan baik jika mereka mempunyai stadium sendiri kerana boleh menggunakan stadium itu pada bila-bila masa.

Diharap, NSFC dan juga kelab-kelab lain di Liga Super akan mempunyai stadium sendiri agar pembangunan bola sepak negara akan terus membangun.

Untuk rekod, hanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang mempunyai stadium sendiri pada ketika ini.