Kalau rasa tak mampu sara sembilan import sila sedar diri, contohi NSFC yang hanya mahu guna lima import

1,190

Setiap kali berlakunya musim perpindahan pemain, setiap kelab sudah pastinya akan sibuk menandatangani pemain baru yang akan memperkuatkan kelab mereka termasuklah pemain import.

Untuk musim Liga Super 2023, pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan yang kuota import telah ditambah kepada sembilan kuota.


Meskipun kuota pemain import ditambah, namun Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangka hanya akan menggunakan lima sahaja kuota pemain import mereka untuk musim depan.

Setakat ini belum ada lagi pemain import yang sah menyertai skuad Hoben Jang Hoben itu dan mereka juga dijangka hanya mengekalkan seorang sahaja pemain import yang lama iaitu Herold Goulon.

Negeri Sembilan juga turut dikaitkan dengan beberapa nama pemain import iaitu bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi dan bekas pemain Sri Pahang FC (SPFC), Matias Conti.

Walaupun kuota pemain import telah ditambah tetapi pihak pengurusan Negeri Sembilan telah membuat tindakan bijak dalam menguruskan kewangan mereka dengan hanya menandatangani lima pemain import sahaja.

Tindakan kelab itu wajar untuk dijadikan contoh untuk pasukan lain supaya mereka tidak akan menghadapi masalah kewangan menjelang musim baru Liga Super nanti.

Umum mengetahui, gaji pemain import lebih mahal berbanding pemain tempatan jadi jika kelab tidak menguruskan kewangan dengan bijak mereka mungkin berhadapan dengan masalah tunggakan gaji.

Sebagai contoh, Sarawak United yang telah didenda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan gagal membayar gaji pemain import mereka iaitu Sandro Da Silva yang berjumlah RM 150,000.

Oleh itu, setiap kelab perlu bijak berbelanja untuk mengelak perkara seperti berikut terjadi kepada kelab mereka.

Meskipun MFL sudah beri kebebasan namun, setiap kelab harus sedar kemampuan kewangan kelab masing-masing agar tidak berbelanja secara berlebihan.

Untuk rekod, pada musim lalu Negeri Sembilan hanya menggunakan lima sahaja pemain import sahaja iaitu Matheus Alves (Brazil), Kossi Adetu (Ghana), Goulon (Perancis) David Gordon Mawutur (Ghana) serta Amid Nazari (Sweden) dan berjaya menduduki tangga keempat Liga Super 2022.

Diharap pasukan lain juga akan mengikut jejak langkah Negeri Sembilan iaitu tidak mengikut nafsu dalam berbelanja dan ‘mengukur baju di badan sendiri.