Mahmoud Al-Mardi batalkan kontrak bersama NSFC untuk ke Al Qadsia, apa sebenarnya yang berlaku?

3,617

Bekas pemain import pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA), Mahmoud Al-Mardi akhirnya sah menyertai pasukan Al Qadsia yang berpangkalan di Kuwait selepas membatalkan kontrak beliau bersama pasukan Negeri Sembilan.

Khabar angin tentang pemain yang beraksi di bahagian tengah itu sering kali kedengaran untuk menyertai pasukan Negeri Sembilan malah sudah bersetuju untuk mengisi kekosongan pemain import untuk menghadapi saingan Liga Super pada musim ini walaupun belum diumumkan secara rasmi.


Namun, perpindahan beliau ke Al Qadsia terus menimbulkan tanda tanya buat penyokong Negeri Sembilan selepas teruja untuk menyaksikan pemain itu menyarung jersi Hoben Jang Hoben musim ini.

Perpindahannya ke Al Qadsia disahkan sendiri oleh ejen Al-Mardi menerusi tangkap layar yang dikongsikan oleh wartawan TheStar, T.Avineshwaran menerusi satu ciapan di laman twitter miliknya.

Ejen Al-Mardi menyatakan bahawa mereka telah membatalkan kontrak diantara Mahmaoud Al-Mardi bersama Negeri Sembilan dan meneruskan cabaran baru bersama Al Qadsia.

Tetapi yang menjadi persoalan adalah emoji dengan mulut berzip seolah-olah seperti perkara lain atau faktor lain yang ingin diberitahu namun tidak boleh didedahkan kepada umum mengenai perpindahan Al-Mardi ke pasukan lain.

Adakah terdapat perkara yang berlaku di sebalik tabir sehingga menyebabkan pemain itu membatalkan kontraknya dengan Negeri Sembilan?

Negeri Sembilan juga agak pasif pada jendela perpindahan kali ini dan langsung tidak mengumumkan lagi pemain import yang bakal memperkuatkan pasukan itu walaupun kurang sebulan lagi saingan Liga Super akan bermula.

Penyokong pastinya mempuyai harapan yang tinggi buat pasukan itu selepas menampilkan prestasi yang agak baik pada musim lalu.

Mereka juga baru sahaja melepaskan beberapa tonggak pasukan seperti Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi yang masing-masing berhijrah ke Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim baharu.

Persoalannya, mengapa kelab itu bergerak dengan perlahan dalam mempersiapkan skuad untuk musim baharu?

Untuk rekod, Al-Mardi merupakan pemain pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) pada musim 2022 ketika jendela perpindahan yang kedua dibuka.

Beliau merupakan import yang menyerlah ketika bersama dengan Sang Kenari selepas menjaringkan 5 gol dan 7 bantuan gol daripada 12 perlawanan.

Malah, beliau turut menjaringkan 4 gol daripada 7 perlawanan di dalam kejohanan Piala AFC sepanjang musim 2022.

Namun disebabkan prestasi merosot pasukan Kedah di dalam Liga Super dan mara ke suku akhir di dalam saingan Piala Malaysia, akhirnya Kedah melepaskan kesemua import termasuk Al-Mardi selepas tamat perjuangan Sang Kenari pada musim 2022.

Setakat ini, pasukan Negeri Sembilan masih belum mengumumkan kemasukan import baharu walaupun tarikh sepak mula semakin dekat.

Dengan kegagalan menandatangani Al-Mardi, ini pastinya memberi cabaran besar buat Negeri Sembilan dalam membina skuad yang baik serta mampu memberi saingan kepada pasukan lain.

Malah, pendedahan tentang pembatalan kontrak Al-Mardi oleh ajen beliau pastinya mencetuskan tanda tanya di kalangan penyokong skuad Hoben Jang Hoben tentang persiapan Negeri Sembilan untuk mengharungi cabaran Liga Super pada tahun ini.