Hanya senaraikan tiga import musim ini, Negeri Sembilan FC bijak kawal kewangan, buka peluang untuk pemain tempatan menyinar

676

Menjelang saingan Liga Super 2023 yang bakal bermula kurang sebulan, semua pasukan kini sedang mempersiapkan skuad mereka termasuk dengan mengumumkan pemain-pemain baharu.

Antara yang sering menjadi tumpuan para penyokong adalah pemain-pemain import yang bakal membarisi pasukan kesayangan mereka


Selepas sekian lama ‘berdiam diri’, Negeri Sembilan FC akhirnya mengumumkan bahawa mereka akan menyenaraikan tiga pemain import untuk musim ini.

Walaupun Malaysian Football League (MFL) membenarkan setiap pasukan untuk membariskan sembilan import, namun Negeri Sembilan mengambil langkah selamat dengan tidak menggunakan kesemua slot pemain import untuk didaftarkan.

Negeri Sembilan membawa masuk bekas pemain import musim lepas, Mark Herold Goulon yang bermain di posisi pertahanan tengah, Ezechiel Ndouasel yang bermain di posisi penyerang dan seorang pemain tengah baharu yang masih di dalam perbincangan oleh pengurusan.

Dengan kehadiran tiga import ke dalam pasukan , ini menujukkan bahawa Negeri Sembilan sedang berada di dalam fasa berjimat cermat dan juga tidak berbelanja banyak pada musim ini.

Ini juga merupakan cara terbaik dalam menguruskan bajet yang telah diberikan supaya digunakan dengan cara yang betul tanpa membawa mudarat kepada pasukan.

Perbelanjaan secara berjimat-cermat perlu disemat di dalam pasukan bola sepak untuk mengelakkan sikap boros dan tamak seterusnya menjadikan sesebuah pasukan menggunakan wang dan dana yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Liga Malaysia juga sentiasa tidak lari daripada isu kewangan serta tunggakan gaji pemain, justeru tindakan Negeri Sembilan itu dilihat satu perkara yang bijak dalam memastikan kelab tidak menghadapi masalah kelak.

Tindakan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh sebilangan penyokong yang merasakan kelab itu tidak akan menjadi sekuat musim lalu tanpa kehadiran lebih ramai pemain import.

Tetapi penyokong perlulah faham kerana bajet pasukan tidak banyak malah pengurusan tidak boleh berbelanja lebih untuk memastikan operasi pasukan dari peringkat muda sehingga senior berjalan dengan lancar tanpa tunggakan gaji.

Penyokong juga perlu memberi sokongan kepada pasukan dengan hadir ke stadium setiap kali perlawanan berlangsung serta membeli jersi dan cenderahati dalam usaha untuk meningkatkan dana dan pendapatan pasukan.

Dalam pada itu, langkah pengambilan tiga import oleh pasukan Negeri Sembilan pastinya memberi impak yang baik kepada pemain tempatan kerana lebih ramai yang dapat diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Ini dibuktikan dengan kejayaan pasukan Liga Super musim lalu, PJ City FC yang tidak menggunakan tenaga import langsung untuk bersaing di dalam Liga Super.

Walaupun menduduki tangga kesembilan dalam Liga Super musim 2022,  kejayaan mereka menggunakan kesemua pemain tempatan perlu diberi pujian kerana membuktikan pemain tempatan juga mampu bersaing.

Malah, dua pemain PJ City iaitu Darren Lok yang bermain di posisi penyerang dan V. Ruventhiran yang bermain di posisi pertahanan kiri dipilih untuk mewakili Malaysia di dalam saingan Piala AFF 2022.

Ini terbukti bahawa pemain tempatan boleh menyerlahkan potensi dan bakat mereka sekiranya mereka diturunkan ke dalam kesebelasan utama pasukan dengan lebih kerap.

Dengan tiga pemain import yang digunakan oleh Negeri Sembilan bakal memberi ruang yang lebih banyak buat permain tempatan untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama pasukan seterusnya mampu memberi cabaran kepada pasukan Liga Super musim 2023.