Apakah kontrak dan perjanjian Levy Madinda ke Negeri Sembilan FC?

633

Pemain kebangsaan Gabon, Levy Madinda akhirnya sah mengisi slot import ketiga pasukan Negeri Sembilan FC selepas nama beliau tersenarai dalam kesebelasan utama ketika perlawanan menentang KL City FC baru-baru ini.

Pemain tengah menyerang itu secara rasmi dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas beliau pulang dari perlawanan persahabatan pra-musim di Dubai.


Sebelum ini, Madinda banyak bermain untuk pasukan JDT II dan hanya dibawa masuk ke pasukan utama sekiranya pemain import di dalam skuad utama mengalami kecederaan.

Namun, persoalan yang bermain di fikiran peminat adalah apakah kontrak perjanjian pinjaman Madinda ke Negeri Sembilan?

Ini kerana semua sedia maklum bahawa pemain-pemain di JDT menerima gaji yang lumayan dan berdasarkan situasi kewangan Negeri Sembilan ketika ini pastinya sukar untuk mereka membayar penuh gaji pemain itu sepanjang tempoh pinjaman.

Ia bukan lagi rahsia kerana untuk musim ini skuad Jang Hobin hanya akan menggunakan tiga pemain import iaitu Herold Goulon, Ezechiel Ndouasel dan Madinda.

Mengikut struktur bayaran gaji di English Premier League untuk pemain pinjaman, kelab yang meminjam pemain boleh membuat ‘sharing basis’ seperti membayar gaji pemain sebanyak 50/50 atau 60/40 berdasarkan kontrak perjanjian yang telah dimukatamadkan oleh kedua-dua kelab peminjam dan kelab asal.

Namun, kontrak pemain pinjaman boleh memasukkan syarat-syarat tertentu oleh kelab asal seperti tidak boleh bermain bersama pasukan pinjaman sekiranya perlawanan menentang kelab asal seperti Negeri Sembilan menentang JDT.

Sebagai contoh, Irfan Fazail dan dan Stuart Wilkin yang bermain untuk Sabah FC tidak dapat bermain ketika Sabah menentang JDT kerana mereka merupakan pemain yang berstatus pinjaman dari JDT.

Tetapi sekiranya Negeri Sembilan membayar gaji penuh untuk Madinda, pastinya tiada masalah untuk menurunkan beliau ke dalam perlawanan menentang JDT.

Malah sekiranya Madinda menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, pastinya Negeri Sembilan akan menjadikan beliau sebagai pemain tetap pada musim hadapan sekiranya JDT ingin melepaskan pemain itu secara percuma atau melalui bayaran perpindahan.

Semoga dengan kehadiran Madinda ke dalam skuad Jang Hobin akan menjadikan pasukan Negeri Sembilan lebih kuat serta mampu memberi cabaran kepada pasukan lain menjelang Liga Super 2023.